Membudayakan pelajar Berbahasa Arab

Membudayakan pelajar Berbahasa Arab

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Dayang Saidatul Natasha binti Saipol Rizqi dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Dayang Amirah Laila Syafiqah binti Mohd Josrey dari Sekolah Menengah Persediaan Arab Temburong muncul johan dalam kategori masing-masing pada Peraduan Pidato dalam Bahasa Arab ke-8 Peringkat Akhir Negara, yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), hari ini.

Dayang Saidatul Natasha menjuarai Kategori A bagi Tahun 10, 11 dan Prauniversiti manakala Dayang Amirah Laila Syafiqah menjuarai Kategori B bagi Tahun 7, 8 dan 9 pada peraduan yang menyaksikan sepuluh peserta dari enam sekolah menengah yang bertanding menyampaikan hujah dalam Bahasa Arab.

Naib johan bagi Kategori A diraih oleh Dayang Siti Zulaiha binti Empudin dari SMALHB, manakala tempat ketiga disandang oleh Dayang Ameerah Faaiqah binti Haji Abdul Mutalif, juga dari sekolah yang sama, di tempat keempat ialah Dayang Nur Alifah binti Haji Mohd Said dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan kelima ialah Dayang Marzeedah binti Awang Muhammad.

Manakala naib johan Kategori B dimenangi oleh Awang Mohd Fahmi Izuddin bin Mudim Awang Haji Tamin dari ITQSHHB, tempat ketiga, keempat dan kelima diraih oleh peserta dari Sekolah Arab Sungai Akar iaitu Awang Ahmad Nasyaruddin bin Haji Abdul Rahim, Awang Mohd Hanafi bin Haji Mohd Daud dan Awang Muhammad Haziq bin Haji Ahad.

Dayang Hajijah (enam kiri) bergambar bersama para pemenang dan peserta Peraduan Pidato dalam Bahasa Arab ke-8.
Dayang Hajijah (enam kiri) bergambar bersama para pemenang dan peserta Peraduan Pidato dalam Bahasa Arab ke-8.
Sebilangan guru-guru dan pelajar yang hadir semasa peraduan yang diadakan di Dewan SMALHB.
Sebilangan guru-guru dan pelajar yang hadir semasa peraduan yang diadakan di Dewan SMALHB.

Hadir menyempurnakan hadiah kepada para peserta pidato ialah Pemangku Penolong Pengarah (Profesional) Jabatan Pengajian Islam, Dayang Hajijah binti Haji Moktal.

Antara objektif peraduan seperti itu adalah untuk menjadikan ia sebagai aktiviti tahunan sekolah tersebut bagi mendidik, mengasuh, mencungkil bakat, dan memupuk minat pelajar dalam berpidato dari peringkat menengah rendah ke menengah tinggi.

Penganjurannya juga diharap dapat membiasakan dan membudayakan pelajar bertutur dalam Bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi dalam kalangan pelajar supaya memperkasa penggunaan dan pertuturan dalam Bahasa Arab di peringkat sekolah lagi.

Terdahulu sebelum itu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan peraduan pidato Kategori A dan Kategori B.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan penuntut SMALHB dan penyampaian hadiah daripada tetamu khas.

ARTIKEL YANG SAMA