Memeduli golongan kurang bernasib baik

Memeduli golongan kurang bernasib baik

TEMBURONG, 12 Okt – Seramai 43 penunggang motosikal berkuasa tinggi diiringi wakil daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam kelmarin menyertai ‘Kembara Kemanusiaan Annur Harapan’ ke Daerah Temburong, di sini.

Program ini diusahakan bersama oleh sukarelawan Kumpulan ‘Freelance Bikers’ dengan gabungan ‘Temburong Bikers’, dengan harapan untuk mengimarahkan Sambutan Awal Tahun 1437 Hijrah yang berkonsepkan ‘Kembara Infaq Jariah’ kepada asnaf fakir dan miskin, keluarga daif, ibu tunggal dan sebagainya.

Lima orang ibu tunggal dan sebuah keluarga fakir miskin terpilih untuk menerima sumbangan dana bernilai $150 yang berbentuk makanan asasi.

Sumbangan diserahkan oleh Pegawai Perhubungan Awam Persatuan Bulan Sabit Merah, Dayang Ya Aneta Wati binti Haji Mohammad Yusof selaku ketua rombongan.

Sementara di sebelah petang, para rombongan turut mengadakan sesi bual bicara yang bertajuk ‘Tips Keselamatan dan Pertolongan Cemas’ khusus kepada penunggang motosikal di Daerah Temburong dengan harapan untuk membantu mereka menambah pengalaman sambil berkongsi sama dalam hal ehwal keselamatan jalan raya dan pertolongan cemas.

Dayang Ya Aneta (kiri sekali) bergambar ramai bersama sebuah keluarga yang menerima sumbangan di Kampung Labu Estate.
Dayang Ya Aneta (kiri sekali) bergambar ramai bersama sebuah keluarga yang menerima sumbangan di Kampung Labu Estate.
Rombongan ketika membuat perjalanan ke Daerah Temburong.
Rombongan ketika membuat perjalanan ke Daerah Temburong.

Dalam temu bual bersama Dayang Ya Aneta, beliau berharap perspektif masyarakat sekeliling terhadap ‘bikers’ perlu diubah, tidak seperti yang mereka sangka bahawa para ‘bikers’ ini samseng atau pelumba haram, malah mereka juga manusia biasa yang mempunyai perasaan untuk membantu masyarakat sekeliling dengan latar belakang yang berbeza.

Projek kerjasama ini juga sebagai titik permulaan untuk mereka mengadakan program seumpamanya di daerah lain.

Dayang Ya Aneta juga berharap program ini dapat dilaksanakan bukan sahaja di dalam negeri tetapi ke seluruh Kepulauan Borneo di masa akan datang. – Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

ARTIKEL YANG SAMA