Memeduli golongan memerlukan

Memeduli golongan memerlukan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) melalui Jawatankuasa Kerja Projek Amal Memeduli Warga Emas dan Keluarga Yang Memerlukan Bantuan (PAWEK), hari ini, mengadakan aktiviti kemasyarakatan di kediaman seorang warga emas di Kampung Kiulap.

Rumah milik Hajah Tampoi binti Abdul Ghani berusia 83 tahun, yang hanya mengharapkan bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sebanyak $100 setiap bulan di samping menerima elaun pencen umur tua sebanyak $250 sebulan.

Beliau telah mendiami rumah berkenaan selama 30 tahun, yang pada asalnya milik ibu bapanya dan secara berkala beliau ditemani oleh anak saudara lelaki yang menjaganya.

Hadir sama melaksanakan aktiviti tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan, Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, penolong-penolong pengarah urusan Yayasan, pegawai dan kakitangan Yayasan serta pasukan sukarelawan Yayasan.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy turut sama menyertai aktiviti kemasyarakatan di kediaman Hajah Tampoi.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy turut sama menyertai aktiviti kemasyarakatan di kediaman Hajah Tampoi.

Meskipun keadaan rumah tersebut masih kukuh, namun ia memerlukan beberapa pembaikan pada beberapa batang tiang dan sebahagian lantai, dinding dan atap.

Dalam usaha tersebut, Yayasan membiayai sepenuhnya perbelanjaan sebanyak $9,259 bagi membaiki rumah beliau khususnya di bahagian tandas baru yang dibina di tingkat atas.

PAWEK dalam usahanya memeduli kesejahteraan warga emas khususnya mereka yang terdiri daripada golongan yang memerlukan bantuan, turut melakukan kerja gotong-royong mengecat dinding luar serta membersihkan bahagian luar dan dalam rumah beliau.

Selain itu, Hajah Tampoi turut menerima sumbangan Yayasan melalui PAWEK berupa makanan asasi yang keseluruhanya bernilai $200 ringgit.