Memeduli kebajikan kanak-kanak

Memeduli kebajikan kanak-kanak

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Sikap beramal dan melakukan kerja-kerja berkebajikan terus diterapkan di dalam diri setiap kakitangan kedai roti, Bake Culture, yang terletak di Kiulap, dengan menghulurkan sumbangan berupa roti kepada Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA), hari ini.

Dalam kesibukan tugasan harian, kakitangan Bake Culture masih meluangkan masa untuk melakukan kegiatan amal bersempena dengan Hari Amal Antarabangsa yang diraikan pada 5 September.

Hadir untuk sama-sama memeriahkan dan menghulurkan sumbangan di majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan, Bake Culture, Wu Chun di mana sumbangan diterima oleh Jurupulih Cara Kerja Kanan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Bendahari YASKA, Dayang Tsara’ Nawwarah binti Abdullah Chen dan beberapa orang pesakit kanser.

Wu Chun dipetik menyatakan bahawa Bake Culture berharap melalui sumbangan itu, dapat memberikan semangat dan kegembiraan kepada pesakit-pesakit kanser untuk meneruskan perjalanan hidup mereka.

Wu Chun menghulurkan sumbangan dari Bake Culture kepada kanak-kanak YASKA yang hadir di majlis berkenaan.
Wu Chun menghulurkan sumbangan dari Bake Culture kepada kanak-kanak YASKA yang hadir di majlis berkenaan.
Wu Chun dan Dayang Tsara’ bergambar ramai dengan kanak-kanak YASKA dan kakitangan Bake Culture di majlis berkenaan.
Wu Chun dan Dayang Tsara’ bergambar ramai dengan kanak-kanak YASKA dan kakitangan Bake Culture di majlis berkenaan.

Sementara itu, Dayang Tsara’ pula dipetik sebagai berkata bahawa September merupakan bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak Antarabangsa di mana dunia menghulurkan sokongan kepada kanak-kanak dalam menangani kanser pada usia awal dan beliau amat gembira dengan sokongan yang dihulurkan oleh Wu Chun dan Bake Culture.

Melalui acara amal itu juga, diharap ia bakal menjadi permulaan kepada Bake Culture dan YASKA untuk bekerjasama menghulurkan sokongan berterusan kepada kanak-kanak YASKA dan keluarga mereka.

Acara amal itu menandakan satu lagi mercu tanda yang penting bagi Bake Culture kerana ia merupakan acara amal pertama yang dikendalikan, di mana menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan dan kurang bernasib baik merupakan satu budaya penting yang diterapkan oleh syarikat berkenaan.

Hari Amal Antarabangsa diraikan setiap tahun pada 5 September di mana hari keraian itu diisytiharkan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2012.

ARTIKEL YANG SAMA