Memeduli kebajikan orang memerlukan

Memeduli kebajikan orang memerlukan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Sempena bulan Ramadan yang mulia dan berkat ini, Jabatan Penjara juga telah mengadakan majlis khatam Al-Quran yang juga diselajurkan dengan penyampaian derma anak-anak yatim dan ibu tunggal serta sumbangan minuman Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Balai Ibadat Penjara Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat. Turut hadir ialah ketua-ketua pengurusan, para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.

Majlis anjuran Institusi Penjara Maraburong itu telah didahului dengan sembahyang Zohor berjemaah dan kemudiannya bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat.

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga An-Nas yang dipimpin oleh Ketua Guru Agama, Awang Noor Huzaimi bin Haji Murah, manakala Doa Khatam dibacakan oleh Haji Abdul Ghani  bin Haji Marsal setelah itu diikuti dengan Dikir Marhaban.

Pemangku Pengarah Penjara menyampaikan sumbangan kepada golongan anak-anak yatim dan ibu tunggal.
Pemangku Pengarah Penjara menyampaikan sumbangan kepada golongan anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Acara diselajurkan lagi dengan penyampaian derma kepada ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim warga Jabatan Penjara yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Setelah itu, majlis diikuti dengan pengagihan minuman Sempena Hari Raya Aidilfitri kepada wakil-wakil institusi dan pengurusan Jabatan Penjara.

Semua sumbangan merupakan hasil kutipan daripada Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Penjara, Koperasi Jabatan Penjara dan Tanggungan Berhad serta para pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Haji Abdul Ghani bin Haji Marsal.

Aktiviti keagamaan ini merupakan salah satu ibadah bagi mendekatkan diri dengan Al-Quran serta meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan, di samping itu juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan ini.

ARTIKEL YANG SAMA