Memeduli kebajikan umat Islam

Memeduli kebajikan umat Islam

Oleh Sim Y. H. & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memeduli dan memelihara kesejahteraan dan kebajikan umat Islam khususnya asnaf fakir miskin dan saudara-saudara baru di negara ini.

Usaha dan keprihatinan itu dapat dilihat melalui keprihatinan pelbagai agensi kerajaan terhadap kebajikan saudara-saudara baru dan golongan yang kurang berkemampuan di negara ini secara berterusan tanpa pernah sama sekali melupakan mereka.

Sehubungan dengan itu, bagi menzahirkan rasa pemedulian dan perhatian yang sewajarnya secara kolektif kepada asnaf fakir miskin dan saudara-saudara baru serta bersempena dengan menyemarakkan lagi Sambutan Awal Tahun 1438 Hijrah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui agensi-agensinya seperti Pusat Dakwah Islamiah, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei dan pejabat-pejabat ugama di Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong, hari ini, mengadakan Majlis Kunjungan dan Ramah Mesra serta Gotong Royong ke Kediaman Asnaf Fakir Miskin dan Mualaf di keempat-empat daerah.

Dalam majlis kunjungan dan ramah mesra yang diadakan di Daerah Brunei Muara, rombongan telah diketuai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, di mana kunjungan pertama ialah bagi penyampaian sumbangan barangan asasi kepada Dayang Jariah binti Haji Bandul di kediaman beliau di Kampung Jangsak.

Dayang Jariah dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, menyatakan perasaan syukur dan amat menghargai sumbangan bantuan yang dihulurkan kepadanya. Beliau turut berkata, sumbangan itu setentunya dapat meringankan bebanan serta memberikannya harapan dalam menempuhi kehidupan seharian.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan sumbangan peralatan menyuci kereta kepada Pengiran Othman.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan sumbangan peralatan menyuci kereta kepada Pengiran Othman.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti bergambar ramai selepas menyerahkan bantuan peralatan menyuci kereta kepada Pengiran Othman.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti bergambar ramai selepas menyerahkan bantuan peralatan menyuci kereta kepada Pengiran Othman.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyerahkan sumbangan kepada Dayang Jariah.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyerahkan sumbangan kepada Dayang Jariah.

Seterusnya rombongan bergerak ke Kampung Batu Bersurat di mana Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyempurnakan penyerahan bantuan peralatan cuci kereta kepada Pengiran Othman bin Pengiran Burut, di Bengkel Cuci Kereta beliau di Mukim Gadong.

Pengiran Othman berkata, sumbangan peralatan itu, setentunya dapat membantu dalam perniagaannya di mana beliau yang merupakan seorang bekas anggota tentera yang bersara, mula berkecimpung dalam bengkel mencuci kereta sejak 2008.

Beliau berkata, hasil dapatan daripada perusahaan mencuci kereta itu, memberikan peluang baginya untuk bukan sahaja membayar sewa tapak dan bekalan utiliti tetapi juga menyara hidup bagi dirinya dan keluarga.

Pada masa ini, jelasnya, beliau mempunyai seramai empat orang pekerja yang semuanya merupakan anak-anak tempatan dan menyatakan hasrat, jika mempunyai rezeki yang luas, untuk membesarkan bengkel cuci kereta yang diusahakannya pada masa ini.

Di samping itu, beliau menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan atas keprihatinan dan sumbangan peralatan yang diberikan di mana ia dapat membantu dalam mengendalikan perniagaannya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pelanggannya yang tidak pernah putus-putus memberikannya galakan serta sokongan untuk meneruskan perusahaannya itu.

Seterusnya rombongan mengadakan kempen kebersihan dan menyerahkan sumbangan sagu hati kepada Awang Kabur bin Abdul Lamit, di Bangunan 1 Hajah Sino dan Haji Abdul Latif, di Kampung Pintu Malim Kota Batu.

Majlis kemudian menyaksikan, Dato Paduka Haji Abdul Mokti, yang juga Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, membuat tinjauan ke kediaman salah seorang saudara baru di kawasan Rancangan Perumahan Negara Mengkubau Mentiri iaitu Dayang Syazwani binti Abdullah yang telah berjaya meningkatkan hasil pendapatan dan sara dirinya, bertitik tolak daripada bantuan modal, mesin gulali yang diberikan oleh Pusat Dakwah Islamiah kepadanya pada 2014 yang lalu.

Sementara itu, di Daerah Tutong, hadir selaku ketua rombongan mengikuti majlis Kunjungan dan Ramah Mesra ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan sumbangan barangan asasi kepada Dayang Siti Huzaimah.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan sumbangan barangan asasi kepada Dayang Siti Huzaimah.

Di daerah ini, rombongan telah berkunjung ke rumah penerima agihan zakat, Dayang Siti Huzaimah binti Sani di Kampung Kiudang, yang telah menerima sumbangan barangan asasi dan wang zakat.

Kemudian diikuti dengan kunjungan ke rumah Hajah Munah binti Haji Momin di Kampung Luagan Timbaran yang juga menerima sumbangan barangan asasi dan rombongan juga berkesempatan mengadakan kempen kebersihan di kawasan rumah beliau.

Ketika ditemu bual, Hajah Munah menyatakan perasaan bersyukur dan berterima kasih terhadap kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memeduli masyarakat yang kurang berkemampuan.

Beliau berharap bantuan tersebut akan dilaratkan kepada pihak-pihak yang kurang berkemampuan sepertinya, dan berharap di awal Tahun Baru Hijrah ini akan memberinya peluang melakukan yang terbaik untuk pihak kerajaan dan negara, serta mendoakan semoga Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam keadaan aman, damai dan sejahtera serta dilimpahi rezeki dan dilindungi oleh Allah S.W.T.

Rombongan seterusnya menyampaikan sumbangan barangan asasi Hajah Salwana binti Abdullah di Kampung Petani, Tutong sebelum bertolak ke Kampung Keriam bagi menyampaikan cenderahati kepada seorang mualaf, Dayang Nur Ameerah Razikin bin Abdullah Yong @ Yong Sew Mee.

Usaha bantuan dan sumbangan itu, diharap dapat terus memeduli dan memantau daripada aspek perkembangan kehidupan asnaf fakir miskin seperti keperluan asasi persekolahan anak-anak mereka, serta juga dalam aspek penglibatan mereka dalam bimbingan dan penghayatan agama Islam bagi saudara-saudara baru.

Dengan adanya bantuan-bantun itu, diharap para penerima akan dapat memanfaatkannya dengan sebaiknya dan menjadikan bantuan itu sebagai satu dakwah yang berkesan selain memudahkan lagi penerima dalam melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Kesemua bantuan sumbangan yang diagihkan pada majlis yang diadakan di keempat-empat daerah diambil melalui Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin Majlis Ugama Islam Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA