Memeduli pengajaran pelajar berkeperluan khas

Memeduli pengajaran pelajar berkeperluan khas

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Rombongan seramai 12 orang pensyarah, pegawai dan kakitangan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini, telah mengadakan lawatan kerja ke Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan di Gadong.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Dr. Adam bin Jait.

Lawatan itu merupakan salah satu langkah awal fakulti itu bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat lebih banyak guru agama yang berkemampuan bukan hanya dalam bidang pengajaran bagi pelajar biasa tetapi juga bagi pelajar berkeperluan khas.

Ia bertujuan untuk memahami lebih lanjut fungsi Unit Pendidikan Khas dan rancangan serta program yang sedang dan akan dijalankan, di samping sebagai langkah awal bagi para akademik Kursus Pendidikan Agama Bagi Pelajar Berkeperluan Khas KUPU SB menimba pengetahuan berkenaan orang berkeperluan khas sebelum kursus tersebut dibukakan kepada pelajar.

Dr. Adam (kedua dari kiri) menyaksikan para guru sekolah swasta yang menjalani kursus pendidikan khas di Unit Pendidikan Khas.
Dr. Adam (kedua dari kiri) menyaksikan para guru sekolah swasta yang menjalani kursus pendidikan khas di Unit Pendidikan Khas.
Ketua Unit Masalah Pendengaran (kanan) menyampaikan penerangan mengenai para pelajar yang menghadapi masalah pendengaran.
Ketua Unit Masalah Pendengaran (kanan) menyampaikan penerangan mengenai para pelajar yang menghadapi masalah pendengaran.

Selain itu, ia juga membolehkan kajian mengenai pendidikan khas agama dijalankan, yang mana beberapa kajian sudah mula dijalankan oleh beberapa orang pensyarah Fakulti Pendidikan dan lawatan itu akan memudahkan kajian-kajian yang sedang dan akan dijalankan.

Rombongan lawatan yang dikelolakan oleh Ketua Perkembangan Kakitangan dan Rancangan Strategik, Dayangku Siti Katijah binti Pengiran Haji Sulaiman itu dibawa melawat ke bahagian SENCO, SENA, GIFTED, Perkhidmatan Bantuan Khusus Masalah Penglihatan, SNSS, Perkhidmatan Psikologi Pendidikan serta Terapi Pertuturan dan Bahasa.

Pada lawatan itu juga rombongan KUPU SB diberikan taklimat ringkas oleh Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Awang Bukit bin Hidup.

ARTIKEL YANG SAMA