Memeduli saudara baru

Memeduli saudara baru

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Dalam memeduli saudara-saudara baru agar mereka tidak merasa tersisih dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri, Bahagian Pengembangan Dakwah dan Bahagian Perkembangan Mua-laf, Pusat Dakwah Islamiah telah menganjurkan kunjungan Hari Raya ke rumah-rumah pembesar Negara.

Antara rumah-rumah yang dikunjungi semalam ialah kediaman Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Isteri di Kampung Sungai Besar bagi rombongan saudara baru dari Kampung Bebuloh.

Rombongan seramai 50 orang saudara baru dari Kampung Bebuloh dan Daerah Beliat, yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar juga telah mengunjungi kediaman Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan isteri.

Sementara itu, rombongan saudara baru dari Daerah Temburong, petang kelmarin, pula mengadakan kunjungan ke kediaman Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Roslan bin Haji Taja’ah di Kampung Kilanas.

Ketua rombongan saudara baru memberikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Ketua rombongan saudara baru memberikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.

Rombongan 66 orang saudara baru berkenaan diketuai oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Abdullah bin Namit.

Di tempat lain, rombongan seramai 50 orang saudara baru Daerah Brunei dan Muara dari Kelas Bimbingan Mualaf pula mengunjungi kediaman Pengarah Pentadbiran di KHEU, di Kampung Delima Satu.

Rombongan yang diketuai oleh Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Fatimah binti Haji Ahmad dan Ketua Unit Dakwah Khas, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Idup itu dialu-alukan sendiri oleh Haji Zulkifli bin Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.

Dalam pada itu, lebih 90 orang saudara baru dari Daerah Tutong pula mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman Dato Seri Setia Haji Mahali bin Haji Abdullah yang merupakan Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas.

Rombongan diketuai oleh pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Junainah binti Haji Gunung.

Seramai 40 orang saudara baru daripada Persatuan Nur Islam juga mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman Haji Serudin bin Haji Timbang di Kampung Tanjung Nangka, di mana rombongan diketuai oleh Dayang Siti Rahmah binti Haji Julaihi.

Kunjungan yang merupakan projek tahunan Pusat Dakwah Islamiah melalui Bahagian Pengembangan Dakwah dan Bahagian Pembangunan Mualaf itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan juga memberikan pengalaman baru bagi saudara-saudara baru yang baru saja memeluk agama Islam.

Dengan adanya konsep rumah terbuka ini, umat Islam dapat mengeratkan persaudaraan dan persahabatan di samping memperbaiki jalinan sesama insan tanpa mengira pangkat dan kedudukan.