Memeduli warga emas

Memeduli warga emas

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 20 Nov – Sebagai aktiviti tahunannya dalam memeduli warga emas, Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim Bokok telah menganjurkan Sambutan Hari Guru dan Warga Emas yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah mantan Penghulu Mukim Bokok, Haji Mohd Salleh bin Haji Bungsu.

Penghulu Mukim Bokok, Haji Emran bin Haji Sabtu selaku pengerusi majlis, ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya menyeru masyarakat terutamanya generasi muda supaya menghormati orang tua atau warga emas terutama sekali ibu bapa, dengan memberikan kasih sayang, bantuan keperluan asas mereka, memeduli, bertanya khabar dan membuat kunjungan kepada mereka, kerana tanpa mereka setentunya kita tidak lahir ke dunia.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru guru-guru dan warga emas yang diraikan khususnya di mukim ini agar turut sama melibatkan diri dalam masyarakat dan berkongsi ilmu pengetahuan mereka kepada sesiapa yang memerlukan.

Haji Mohd Salleh menyampaikan cenderahati penghargaan kepada salah seorang warga emas yang terpilih.
Haji Mohd Salleh menyampaikan cenderahati penghargaan kepada salah seorang warga emas yang terpilih.

Majlis sambutan turut menyaksikan penyampaian cenderamata penghargaan kepada empat orang warga emas yang terpilih dan 10 orang guru bersara yang berumur 65 tahun ke atas, yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, dengan iringan persembahan Dikir Marhaban oleh kumpulan Jemaah Masjid Pengiran Haji Abu Bakar Kampung Bokok.

Sambutan antara lain juga bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturahim yang sedia ada dan untuk meningkatkan semangat bergotong-royong dan tolong-menolong dalam kalangan penduduknya dalam apa jua aktiviti kemasyarakatan.

Mukim Bokok mempunyai 18 buah kampung di bawah tadahannya dengan keluasan 136 km persegi, dan sehingga November 2015 lebih 300 warga emas bermastautin di mukim berkenaan daripada pelbagai bangsa dan agama.

ARTIKEL YANG SAMA