Memeduli yang susah

Memeduli yang susah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), sebuah badan sukarela tempatan hari ini meneruskan lagi usaha mereka dalam menghulurkan sumbangan berupa makanan berbuka puasa kepada golongan yang memerlukan bantuan di Negara Brunei Darussalam.

Skim pengagihan makanan berbuka puasa ini adalah sebahagian daripada Projek Sejambak Kasih, bersempena dengan bulan puasa yang menjurus kepada memberikan bantuan dan menunjukkan rasa prihatin MKM kepada ahli-ahli keluarga yang kurang berupaya untuk memasak kerana faktor umur atau keadaan fizikal mereka.

Tahun ini, skim pengagihan makanan berbuka puasa memberikan sumbangan kepada 254 orang daripada 43 keluarga dan skim ini dijalankan bermula hari ini sehingga 30 Jun ini. Menurut kenyataan MKM, dana bagi pengagihan makanan ini diperolehi daripada kumpulan individu yang memberikan sumbangan kepada skim MKM.

Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Mohd Kassim ketika ditemui melahirkan rasa berterima kasih kepada para sukarelawan yang berkesudian untuk meluangkan masa mereka bagi sama-sama menjayakan skim berkenaan.

Ahli Persatuan Netball Brunei bersama sukarelawan MKM semasa memberikan makanan berbuka kepada salah sebuah keluarga, kelmarin.
Ahli Persatuan Netball Brunei bersama sukarelawan MKM semasa memberikan makanan berbuka kepada salah sebuah keluarga, kelmarin.

pg03_150622_d

Majlis pengagihan makanan berbuka puasa hari ini telah dibantu oleh sekumpulan ahli Persatuan Netball Brunei yang turut serta bersama-sama dengan sukarelawan MKM yang lain.

“Sudah menjadi dasar MKM untuk memberi peluang kepada organisasi-organisasi lain di negara ini untuk sama-sama memberikan bantuan untuk bekerjasama di samping mendorong para pemain bola jaring Brunei agar terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya,” jelas Datin Paduka Hjh Intan.

MKM turut mempelawa orang ramai menyertai aktiviti mereka untuk sama-sama merasai keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.

ARTIKEL YANG SAMA