Memeriahkan sambutan Tahun Baru Tamil

Memeriahkan sambutan Tahun Baru Tamil

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Mac – Berbagai-bagai acara hiburan dan tradisi telah menceriakan lagi Sambutan Tahun Baru Tamil yang diadakan di Bangunan Persatuan India Belait di sini, hari ini.

Sambutan anjuran kalangan ahli-ahli wanita persatuan tersebut yang diketuai oleh Divya Loveline dan Radha Viswana Than itu merupakan salah satu aktiviti tahunan yang diadakan untuk mengeratkan lagi perpaduan antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat Tamil yang tinggal di daerah ini.

Bendahari bagi Acara Tahun Baru Tamil, Gomathi Govindaraj semasa ditemui Media Permata hari ini memberitahu, sambutan itu disertai oleh lebih 50 orang dalam kalangan wanita-wanita Tamil sama ada yang bekerja di negara ini ataupun suri rumah yang menyertai suami mereka yang bekerja di negara ini.

“Majoriti mereka yang menyertai hari ini baru saja berada di negara ini untuk beberapa bulan, dan kami berjaya menyatukan mereka melalui kemudahan media sosial seperti WhatsApp dan Facebook serta e-mel.

“Melalui acara kami hari ini, kami berpeluang mengenali antara satu sama lain, dan kami akan saling bantu membantu sebagai masyarakat yang sama bangsa selain kami juga sentiasa peka untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat umum di negara ini,” katanya.

Lebih 50 orang wanita Tamil yang ada di Daerah Belait menyertai Majlis Sambutan Tahun Baru Tamil kelmarin.
Lebih 50 orang wanita Tamil yang ada di Daerah Belait menyertai Majlis Sambutan Tahun Baru Tamil kelmarin.

Untuk mengetengahkan lagi tradisi Tamil, supaya ia tidak hilang ditelan zaman kecanggihan teknologi maklumat dan sebagainya pada masa ini, acara juga telah diisikan dengan penyampaian taklimat mengenai tradisi Tamil yang disampaikan oleh Lakshmi yang merupakan peserta awam bagi sama-sama menjayakan sambutan Tahun Baru Tamil di sini.

Antara acara yang diadakan termasuklah nyanyian daripada filem-filem terkenal Tamil, tarian, serta berbagai acara permainan yang sesuai disertai oleh kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa yang terlibat dalam majlis itu, berlangsung dari pukul 9:30 pagi hingga 4:30 petang.

Selain itu, turut menceriakan lagi majlis ialah wanita-wanita yang datang berpakaian tradisi Tamil menampilkan berbagai fesyen moden dan klasik, serta temporari moden, dengan kain-kain sutera India yang cantik dan pelbagai warna, yang juga merupakan budaya mereka sebagai tanda kesyukuran daripada warna-warni.

ARTIKEL YANG SAMA