Memori indah bersama keluarga angkat di Sapporo, Jepun

Oleh Nabilah Saleh

 

SAPPORO – Rasa teruja mengatasi kedinginan cuaca sejuk suhu bawah takat beku yang menyelubungi Sapporo, ibu kota Hokkaido, wilayah utara kepulauan Jepun. Buat pertama kalinya penulis berpeluang menikmati nyaman udara musim salji di bandar keempat terbesar Jepun itu. Rasa gembira membuak-buak di dada sepanjang penerbangan satu jam setengah yang cukup selesa dari ibu negara Tokyo dengan syarikat penerbangan terbesar negara matahari terbit itu, All Nippon Airways (ANA).

Menjenguk ke luar tingkap pesawat sejurus sebelum mendarat, pemandangan serba putih terbentang luas jelas kelihatan sebaik sahaja pesawat melewati ruang udara Sapporo. Seperti masih diulit mimpi, penulis terpana menyaksikan pemandangan indah ‘White Sapporo’, panggilan yang cukup sinonim dengan Sapporo setiap kali tiba musim sejuk! Pelbagai perkara berlegar di minda, tidak terkecuali membayangkan bagaimana pula kalau diberikan peluang merasai pengalaman bermain ski dan salji. Tentu sekali menyeronokkan!

Keluarga angkat

Penulis berkesempatan menjejakkan kaki ke Tokyo dan kemudiannya ke Sapporo menerusi program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youth (JENESYS2016). Program yang memakan masa kira-kira seminggu ini adalah anjuran bersama kerajaan Jepun (Japan International Cooperation Center ‘JICE” sebagai fasilitator) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

Termasuk penulis, seramai 24 peserta dari media Malaysia dan KBS menjadi anak angkat kepada keluarga Jepun yang dipilih untuk program berkenaan. Panjang betul angan-angan penulis sebaik sahaja mendapat tahu ‘Keluarga Ito’ iaitu keluarga angkat penulis di Sapporo memang gemar aktiviti ski.

Maklumat lain mengenai aktiviti kegemaran keluarga angkat penulis yang diperolehi daripada JICE ialah ‘menangkap serangga’, bermain tenis dan menyanyi. Malah keluarga ini juga memelihara ikan, kumbang, ‘gecko’ (sejenis cicak) dan ‘salamander’ (sejenis amfibia seakan cicak boleh hidup di darat dan di air). Lalu penulis terfikir bagaimana masyarakat Jepun yang cukup sinonim dengan kemajuan luar biasa teknologi dan industri penciptaan automotif serta robotic masih lagi menggemari aktiviti sedemikian.

Keluarga angkat penulis, Keluarga Ito bergambar bersama cenderahati pemberian penulis dan rakan yang kesemuanya bercirikan Malaysia. – Bernama
Keluarga angkat penulis, Keluarga Ito bergambar bersama cenderahati pemberian penulis dan rakan yang kesemuanya bercirikan Malaysia. – Bernama
Kairu Ito bersama koleksi serangga yang dikumpulnya sejak berusia 3 tahun. Kesemua koleksi itu diawet serta dilabel mengikut kategori dan kelompok tertentu. Koleksi tersebut dijaga rapi dan sentiasa diperiksa demi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. – Bernama
Kairu Ito bersama koleksi serangga yang dikumpulnya sejak berusia 3 tahun. Kesemua koleksi itu diawet serta dilabel mengikut kategori dan kelompok tertentu. Koleksi tersebut dijaga rapi dan sentiasa diperiksa demi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. – Bernama

Mengenali keluarga Ito

Bersama penulis menjadi anak angkat keluarga Ito ini ialah Lizza Imelia Solana, pegawai KBS. Keluarga Ito ini boleh dikategorikan sebagai berada jika dilihat daripada model kereta yang mereka gunakan serta kediaman rumah dua tingkat yang lengkap berciri moden serta perabot cukup minimal. Pasangan Ito iaitu Atsushi dan isterinya Tomoko mempunyai dua orang anak, seorang lelaki bernama Kairu, 12 tahun dan anak perempuan, Mii, 10 tahun. Tomoko membahasakan dirinya ‘Okkasan’ iaitu panggilan emak dalam bahasa Jepun. Keluarga ini sering menyertai program anak angkat ini dan buat pertama kalinya mereka mendapat anak angkat bangsa Melayu dari Malaysia.

Peluang kenal budaya

Kami menginap di kediaman keluarga angkat ini selama dua hari satu malam dan meskipun singkat, mereka sudah cukup bersedia untuk meraikan kedatangan kami termasuk menyediakan hidangan makan malam yang cukup menyelerakan. Mereka terlebih dahulu telah dimaklumkan tentang kesediaan penulis untuk hanya menikmati makanan halal. Tomoko yang fasih berbahasa Inggeris ternyata peka dan begitu mengambil berat terhadap permintaan penulis. Dia ternyata tidak berdepan masalah menghormati permintaan penulis.

Berpengalaman lebih 15 kali menerima anak angkat menerusi program yang sama, Tomoko memulakan perbualan dengan penulis dengan memberitahu, setiap ‘anak angkat’ yang hadir ke rumahnya mempunyai cerita dan latar belakang yang pelbagai dan menarik. “Ini selalunya menjadi peluang untuk kami sekeluarga mengenali budaya luar dengan lebih dekat lagi, selain dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dengan tetamu kami,” jelas Tomoko, seorang surirumah sepenuh masa.

Anak-anak mereka juga kelihatan tidak kekok dengan orang asing yang berada di dalam rumah mereka. Kairu tidak segan dan begitu ramah melayani setiap pertanyaan penulis walaupun baru pertama kali bersua muka.

Mii pula yang cukup berbakat melukis turut serta dalam perbualan sambil sesekali dibantu oleh ibu dan abangnya. Meskipun wujud kesukaran dari segi pemahaman bahasa ketika berkomunikasi, adik-beradik ini tetap berusaha menjawab pertanyaan penulis yang sangat berminat hendak mengetahui tentang rutin persekolahan dan hobi mereka.

Gajet, teknologi bukan keutamaan

Kagum dengan minat Kairu, penulis bertanya kepada Tomoko sama ada beliau memberi peranti atau apa-apa gajet kepada anaknya untuk mengisi masa lapang. Tomoko menjelaskan, teknologi yang wujud dan sinonim dengan negaranya itu bukanlah suatu keutamaan di dalam pembelajaran di sekolah serta tumbesaran anak-anaknya.

“Bagi kami, keperluan menggunakan komputer atau telefon pintar bukanlah untuk setiap masa. “Saya juga tidak pernah memaksa dia untuk buat apa yang dia tidak minat. Kairu memilih alam semula jadi sebagai minatnya dan kami memang sokong penuh hobinya itu,” katanya.

Menurutnya lagi, wilayah Hokkaido yang dihuni lebih 5.47 juta penduduk ini mempunyai permukaan bumi yang cukup istimewa untuk diterokai pada setiap musim. Bagi Tomoko, adalah suatu perkara yang sangat merugikan jika kedamaian suasana sejuk dikelilingi pergunungan di wilayah itu tidak dimanfaatkan sebaik mungkin bersama seisi keluarga.

Cukup menggemari aktiviti ski pada setiap kali musim sejuk, keluarga ini juga ternyata membuktikan teknologi hari ini juga bukanlah segala-galanya buat mereka.

Masih teruja untuk menghidupkan amalan tradisi dan bersederhana dalam hampir semua aktiviti seharian mereka, keluarga Ito ternyata antara bukti masyarakat Jepun yang tidak mudah leka dek arus kemodenan yang mendesak.

Institusi kekeluargaan yang harmoni beginilah harus diteladani supaya lebih banyak elemen kehidupan yang lain dapat dinikmati dan dihargai kewujudannya. – Bernama