Memperingati Khidmat Tentera Gurkha

Memperingati Khidmat Tentera Gurkha

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Perbarisan Memperingati Perkhidmatan Tentera Gurkha 200 yang akan berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 12 Oktober nanti, bukan sahaja amat penting bagi memperingati jasa perkhidmatan dan ketaatan, anggota tentera Gurkha berkhidmat dalam tentera British tetapi ia juga satu penghormatan semua anggota yang terlibat dalam perbarisan untuk mengikuti upacara bermakna yang berlangsung di ibu negara.

Perbarisan itu juga merupakan satu acara penuh bermakna dalam menandakan hubungan erat yang dinikmati oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Tentera British yang mana ia menampilkan perbarisan gabungan penuh bermakna bagi kedua-dua angkatan tentera yang melibatkan seramai 750 pegawai dan anggota tentera dari Briged Gurkha dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

Hubungan signifikan dan penuh bermakna dalam perbarisan itu dijelaskan oleh Pegawai Pemerintah Angkatan Tentera British di Negara Brunei Darussalam, 1st Batallion Royal Gurkha Rifles, Leftenan Kolonel Jodi Davies dalam temu bual bersama pihak media selepas Raptai Perbarisan Memperingati Perkhidmatan Tentera Gurkha 200 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama ketenteraan di antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom, Leftenan Kolonel Jodi Davies berkata hubungan dua hala ketenteraan di antara kedua-dua buah negara itu amat signifikan sekali dan bagi anggota tentera pula, ia memberikan peluang bagi mereka untuk terus melaksanakan kerjasama yang erat termasuk dari segi latihan bersama dan juga pertukaran dua hala dari segi kepakaran, sukan dan sosial.

Pergerakan anggota pancaragam semasa perbarisan itu.
Pergerakan anggota pancaragam semasa perbarisan itu.
Leftenan Kolonel Jodi Davies yang mengetuai Perbarisan Memperingati Perkhidmatan Tentera Gurkha 200.
Leftenan Kolonel Jodi Davies yang mengetuai Perbarisan Memperingati Perkhidmatan Tentera Gurkha 200.
Perbarisan Memperingati Perkhidmatan Tentera Gurkha 200 yang terdiri daripada 750 pegawai dan anggota tentera dari Briged Gurkha dan Tentera Darat Diraja Brunei.
Perbarisan Memperingati Perkhidmatan Tentera Gurkha 200 yang terdiri daripada 750 pegawai dan anggota tentera dari Briged Gurkha dan Tentera Darat Diraja Brunei.

Penyertaan anggota ABDB dalam perbarisan itu, ulas Leftenan Kolonel Jodi Davies, melambangkan keakraban hubungan kerjasama dan persahabatan yang wujud sekian lama di antara angkatan bersenjata kedua-dua buah negara yang mana perbarisan itu hanya satu aspek daripada hubungan erat yang wujud di antara mereka.

Perbarisan itu, tambahnya lagi, turut melambangkan persahabatan dan penghormatan bagi kesetiaan, keberanian dan kepercayaan bagi tentera Gurkha yang sudah berkhidmat selama 200 tahun kepada kerajaan British dan pada 12 Oktober nanti, perbarisan yang akan diadakan di Bandar Seri Begawan merupakan satu lagi penghormatan bagi jasa bakti mereka.

Beliau menjelaskan bahawa upacara dan perbarisan juga diadakan di beberapa lokasi di seluruh dunia sebelum ini termasuk acara yang berprofil tinggi yang berlangsung di Nepal dan United Kingdom pada Jun lalu di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat untuk sama-sama menghadiri perbarisan berkenaan.

Acara perbarisan yang serupa, jelasnya, juga telah diadakan di Australia dan New Zealand di mana kesemua acara itu merupakan satu penghormatan yang amat besar maknanya bagi tentera Gurkha yang telah dan sedang berkhidmat pada ulang tahun ke-200 hubungan berkenaan.

Perbarisan yang penuh bermakna itu, memberikan peluang untuk meraikan hubungan unik yang wujud di antara anggota tentera Gurkha dengan pegawai-pegawai British serta dengan Negara Brunei Darussalam.

Perbarisan lintas hormat semasa raptai dijalankan.
Perbarisan lintas hormat semasa raptai dijalankan.

pg08_151009_d

Perbarisan pada 12 Oktober itu nanti, bakal dihadiri, selaku wakil Ratu Elizabeth II, Komandan Kolonel Briged Gurkha, Jeneral Sir Peter Well di mana perbarisan itu dijadualkan bermula pada pukul 10 pagi.

Menurut kenyataan dari Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, sejak 1962, tentera Gurkha telah ditempatkan di Brunei dan ia sentiasa merangkumi sebuah batalion infantri The Royal Gurkha Rifles yang disokong oleh anggota dari The Queen’s Gurkha Engineers, The Queen’s Gurkha Signals, The Queen’s Own Gurkha Logistic Regiment dan The Gurkha Staff and Personnel Support Company yang berpusat di Tuker Lines, Seria.

Menurut kenyataan itu lagi, pada masa ini, peranan utama Briged Gurkha di Brunei adalah untuk mengadakan latihan dalam persekitaran tropika di mana hutan tropika menyediakan pelbagai peluang latihan yang menarik dengan adanya pelbagai jenis flora dan fauna yang unik.

Salah satu komponen penting dalam misi latihan yang dijalankan adalah untuk memastikan kawasan latihan terus dipelihara bagi generasi akan datang, oleh itu, standard pemuliharaan yang tinggi dikuatkuasakan.

Pada masa yang sama, anggota tentera Gurkha juga berpeluang untuk kerap mengadakan latihan bersama anggota TDDB yang mana melalui setiap latihan ketenteraan dan acara sukan yang diadakan, ia memberikan peluang kepada para pegawai dan anggota tentera untuk belajar di antara satu sama yang lain, berkongsi pengalaman serta untuk menjalinkan hubungan persahabatan yang lebih erat.

ARTIKEL YANG SAMA