Memperingati pendaratan angkatan Australia di Borneo

Memperingati pendaratan angkatan Australia di Borneo

Oleh Anwar Rosly

 

Kuala Belait, 25 Nov – Sempena memperingati Ulang Tahun ke-70 Pendaratan Angkatan Australia di Borneo, Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam meneruskan Pameran Persahabatan ‘Stories through Memories – 70 years of Friendship’ ke Daerah Belait, yang diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria, bermula hari ini.

Hadir merasmikan pameran selama lima hari ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga selaku Ketua Kampung Lumut I, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad yang memotong reben perasmian dengan diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam, pameran ini bertujuan untuk mengetengahkan gambar-gambar bersejarah dari era Perang Dunia ke-2 sejurus selepas berakhirnya penjajahan tentera Jepun ke atas Negara Brunei Darussalam dari tahun 1941-1945.

Tuan Yang Terutama Todd Mercer dan Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee semasa merasmikan pameran itu. - Gambar oleh Dr. Jant Marles
Tuan Yang Terutama Todd Mercer dan Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee semasa merasmikan pameran itu. – Gambar oleh Dr. Jant Marles
Dr. Maslin bin Haji Jukim/Jukin menunjukkan sebuah gambar kepada Yang Berhormat Haji Shafiee semasa pameran itu berlangsung.
Dr. Maslin bin Haji Jukim/Jukin menunjukkan sebuah gambar kepada Yang Berhormat Haji Shafiee semasa pameran itu berlangsung.
Salah satu potret kenangan dari zaman Perang Dunia Kedua.
Salah satu potret kenangan dari zaman Perang Dunia Kedua.

Pameran bercorak multi-media ini juga menayangkan cerita orang-orang tua yang kesemuanya merupakan saksi-saksi kepada pengalaman pahit dan duka semasa dijajah tentera Jepun dahulu.

Selain itu, beberapa keping gambar dari era tersebut juga dipamerkan, yang memperlihatkan tentera Australia tiba di Borneo dan beraksi menentang tentera Jepun dalam usaha membebaskan Brunei ketika itu.

Sehubungan itu, orang ramai terutamanya penduduk di Daerah Belait dialu-alukan untuk mengunjungi pameran berkenaan yang akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4:15 petang pada hari Rabu, Khamis dan Sabtu dan dari jam 9 pagi hingga 9 malam pada hari Jumaat dan Ahad, bagaimanapun, pameran akan ditutup dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang pada Jumaat.