Memperingati penukaran nama Bandar Brunei

Memperingati penukaran nama Bandar Brunei

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Bersempena dengan memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan ke-46 tahun, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis 46 kali Khatam Al-Quran yang diselajurkan dengan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan kemudian bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh para peserta khatam.

Seramai 1,486 peserta khatam terlibat tahun ini yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, pegawai-pegawai dan penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi, pihak swasta, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam yang dibacakan oleh Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran bersempena dengan memperingati hari penukaran nama Bandar Brunei yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.

Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah dan disusuli dengan ceramah khas Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 daripada Penceramah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Ismail.

Majlis petang tadi itu dianjurkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang mana ia bertujuan untuk sama-sama mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Di samping itu juga, ia juga bagi memperkembangkan lagi usaha berterusan untuk memperkukuhkan Islam kepada Bandar Seri Begawan dengan imej yang baik dan indah, lebih-lebih lagi sesuai dengan sifatnya selaku Bandar Negara Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA