Memperingati ...

Memperingati peristiwa besar Nabi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Turut hadir ialah pengarah-pengarah bahagian, ketua eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di kementerian tersebut.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 1, Awang Tasad bin Haji Tamam selaku pengerusi majlis, yang antara lain mengatakan majlis itu adalah bagi memperingati peristiwa besar yang merupakan salah satu daripada mukjizat besar Nabi Muhammad S.A.W.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa dan Awang Tasad bersama para hadirin yang lain di Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Kementerian Perhubungan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa dan Awang Tasad bersama para hadirin yang lain di Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Kementerian Perhubungan.
Antara warga Kementerian Perhubungan yang hadir pada majlis tersebut.
Antara warga Kementerian Perhubungan yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis berkenaan juga diserikan lagi dengan ceramah yang bertajuk ‘Pengangkutan dan Perhubungan dalam Islam’ yang telah disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Mikdar bin Rusdi.

Beliau dalam ceramahnya menyentuh mengenai dengan kepentingan pengangkutan dan perhubungan dengan mengambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang dipertunjukkan kepada Nabi Muhammad S.A.W mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T.

Sambutan Israk dan Mikraj ini merupakan acara keagamaan tahunan kementerian berkenaan bagi menyemarakkan lagi hari-hari kebesaran Islam dengan tujuan untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah S.W.T.