Memperkasa akidah tauhid

Memperkasa akidah tauhid

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu ke-6 (ICON IMAD VI) menutup tirainya hari ini dengan penyampaian resolusi seminar dua hari itu pada majlis penutup di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), di Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis penutup seminar berprestij berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, rektor UNISSA, pegawai-pegawai utama, dan para peserta pembentang dari dalam dan luar Negara.

Di majlis berkenaan, para tetamu telah mendengarkan forum antara wakil-wakil penganjur bersama seminar (iaitu UNISSA; Universiti Islam Negeri Sunan Gunung Djati, Bandung Indonesia; Universiti Malaya (UM), Malaysia; dan Prince of Songkhla University, Thailand) dengan tajuk ‘Kemakmuran Negara Pemangkin Kesejahteraan Ummah di Alam Melayu’.

Antara ahli-ahli panel tersebut ialah Pengarah Pusat Kajian Al-Quran di Akademi Pengajian Islam UM, Profesor Datuk Dr. Mohd Yakub@Zulkifli bin Mohd Yusoff; Profesor Asep Saepul Muhtadee dari Universiti Islam Negeri Sunan Gunung Djati, Bandung Indonesia; Pengarah Kolej Pengajian Islam (CIS) Prince of Songkla University, Dr. Yusof Talek; Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam di UNISSA, Profesor Mahyuddin bin Yahaia; dan Penolong Naib Canselor Akademik bagi Hal Ehwal Akademik, Mindanao, Profesor Dr. Ali Bangcola Panda.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom hadir semasa penutup seminar ICON IMAD VI di UNISSA.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom hadir semasa penutup seminar ICON IMAD VI di UNISSA.
Para ahli panel dan moderator ketika membincangkan tajuk forum ‘Kemakmuran Negara Pemangkin Kesejahteraan Ummah di Alam Melayu’.
Para ahli panel dan moderator ketika membincangkan tajuk forum ‘Kemakmuran Negara Pemangkin Kesejahteraan Ummah di Alam Melayu’.
Dr. Lilly Suzana ketika membentangkan resolusi bagi seminar berkenaan.
Dr. Lilly Suzana ketika membentangkan resolusi bagi seminar berkenaan.

Majlis telah diteruskan lagi dengan pembentangan resolusi yang telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Usuluddin UNISSA, Dr. Lilly Suzana binti Haji Shamsu selaku pengerusi bersama ICON IMAD VI.

Terdapat tujuh resolusi yang dijelaskan oleh Dr. Lilly Suzana iaitu memperkasa akidah tauhid sebagai kerangka asas dalam membangun daulah Islamiah yang aman makmur berpandukan pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan memartabatkan prinsip wasatiyyah dalam semua bentuk muamalat demi menjaga kesatuan ummah di alam Melayu; dan meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara institusi akademik dan pihak yang berautoriti di alam Melayu berasaskan konsep Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Selain itu, mengembangkan dan meluaskan jaringan antara para sarjana Islam di alam Melayu bagi tujuan penyelidikan dan pelbagai aktiviti akademik; menilai kembali sistem pendidikan Islam di alam Melayu dengan mengambil kira pembangunan dan kemajuan semasa global; meneroka model Brunei yang mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam ekonomi, politik, sosial dan budaya mengikut prinsip Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai falsafah negara.

Antara resolusi yang lain dijelaskan adalah memperelok kurikulum pendidikan Islam di alam Melayu agar dapat mendepani cabaran kontemporari serta mewujudkan kolaborasi antara institut pengajian tinggi di alam Melayu untuk mempromosi dan memperkasa pengajian Islam melalui pertukaran pelajar dan tenaga akademik.

Majlis telah ditutup dengan penyerahan Resolusi ICON IMAD VI kepada tetamu kehormat majlis dan juga kepada moderator forum serta ahli-ahli panel.

ARTIKEL YANG SAMA