Memperkasa wanita Brunei

Memperkasa wanita Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Wanita di Negara Brunei Darussalam merupakan rakan kongsi yang sama taraf dengan lelaki dan pihak kerajaan sentiasa bersedia untuk melaksanakan langkah memartabatkan peranan wanita sebagai pemacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof, pada Mesyuarat Kedua Menteri-menteri ASEAN Mengenai Wanita (AMMW), yang berlangsung di Manila, Filipina, hari ini.

Puan Yang Terutama mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Kedua AMMW, yang bertemakan ‘Accounting for Results on Gender Equality and Women’s Empowerment in the ASEAN Community Vision 2025,’ menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah menambah bahawa, sebagaimana juga negara-negara membangun yang lain, bakat dan tenaga wanita amat mustahak untuk dikembang luaskan bagi mencapai potensi nasionalnya.

Wanita menjadi rakan kongsi yang diperlukan bagi membawa kemakmuran untuk negara dan amat penting bagi negara kerana mereka merupakan kunci kepada masa depan negara.

Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina bergambar ramai bersama para delegasi AMMW yang berlangsung di Manila, Filipina.
Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina bergambar ramai bersama para delegasi AMMW yang berlangsung di Manila, Filipina.
Kalangan para delegasi yang mengikuti Mesyuarat ACW.
Kalangan para delegasi yang mengikuti Mesyuarat ACW.

Beliau berkata lagi bahawa, kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya untuk membolehkan wanita memainkan peranan penuh mereka, dalam segenap aspek kehidupan kerana apabila jika wanita berjaya, negara juga akan berjaya.

Seterusnya, beliau berkata Negara Brunei Darussalam mempunyai tradisi panjang dalam memperkasa wanita dan pihak kerajaan telah memasukkan matlamat itu ke dalam dasar-dasar negara.

“Ia merupakan langkah yang tepat kerana memperakui maruah setiap insan bermakna memastikan bahawa semua lelaki dan wanita diberikan setiap peluang untuk memenuhi potensi mereka.

“Rekod Negara Brunei Darussalam berhubung pemerkasaan wanita adalah jelas. Akses kepada pasaran pekerjaan untuk semua wanita, latihan kemahiran kepada suri rumah dan peluang keusahawanan untuk ibu-ibu tunggal, program latihan untuk profesional peringkat tinggi merupakan langkah-langkah yang positif dalam membangun wanita.”

Puan Yang Terutama menyatakan bahawa kerajaan lebih peka dan responsif kepada suara wanita apabila memperkenalkan dan menambah baik dasar, strategi dan program serta mewujudkan struktur institusi seperti Majlis Kebangsaan Isu Sosial bagi menangani isu wanita.

Mesyuarat Kedua AMMW didahului dengan empat mesyuarat iaitu Mesyuarat ke-14 Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Mengenai Wanita (ACW); Mesyuarat ke-7 Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Wanita dengan Rakan Dialog (ACW+3); Mesyuarat Konsultasi Kedua Di Antara ACW dengan ASEAN Commission on the Promotion and Protection of Women and Children (ACWC) dan Mesyuarat Khas ACW yang berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober.

Mesyuarat-mesyuarat tersebut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad, pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan.

Mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dengan isu-isu wanita itu bermatlamat untuk meneruskan komitmen ACW sebagai badan pemantau ASEAN terhadap kepentingan-kepentingan bidang wanita serantau melalui perlaksanaan Pelan Kerja ACW (ACW Work Plan).

ARTIKEL YANG SAMA