Memperkasa wanita dalam bidang ekonomi

Memperkasa wanita dalam bidang ekonomi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 Ogos – Lebih 30 wanita dari pelbagai persatuan di Daerah Belait telah menyertai Seminar Pembentukan Jaringan dan Peluang Bagi Pengusaha-pengusaha Wanita di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Mini Pusat Belia, di sini, hari ini.

Seminar yang dikendalikan bersama Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Daerah Belait dengan menampilkan penceramah undangan dari Thailand adalah bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Kebajikan Perempuan Daerah Belait.

Yang Dipertua PKP, Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah semasa ditemu bual menjelaskan, seminar itu adalah untuk memperkasa wanita bagi merebut peluang dalam kegiatan ekonomi demi membangun ekonomi yang mantap, membentuk masyarakat lebih stabil dan berdikari serta memperbaiki kualiti kehidupan wanita, keluarga dan komuniti.

Menurutnya lagi, melalui penglibatan kaum hawa dalam industri kecil dan sederhana (IKS), masyarakat bersaing mengakui dan menghargai usaha-usaha kaum wanita bahawa penglibatan wanita dalam perusahaan dapat menghasilkan pendapatan negara, membuka bidang pekerjaan, membangunkan perusahaan, mengurangkan kemiskinan serta mempromosi perekonomian persendirian.

“Kaum wanita juga memainkan peranan besar dalam pembangunan perniagaan yang bermanfaat bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada masyarakat amnya,” ujarnya. Sehubungan itu seminar tersebut dikendalikan antara lain bertujuan untuk memperkenalkan cara hidup moden muda-mudi dan wanita-wanita yang berkerjaya selaras dengan Komuniti Ekonomi ASEAN, selain untuk memperkenalkan kunci ‘Role Model’ kepimpinan dalam masyarakat.

Hajah Kertini (kiri) bersama penceramah undangan dari Thailand semasa Seminar Pembentukan Jaringan dan Peluang Bagi Pengusaha-pengusaha Wanita.
Hajah Kertini (kiri) bersama penceramah undangan dari Thailand semasa Seminar Pembentukan Jaringan dan Peluang Bagi Pengusaha-pengusaha Wanita.

Hajah Kertini seterusnya menambah, selain untuk membentuk minda ingin berniaga dan menyediakan perkhidmatan berkualiti, ia juga memperkasa wanita menuju kejayaan berasaskan kepada kebolehan berdaya saing serta menanamkan perasaan dan keinginan untuk ‘Berani Mencuba’.

Seminar sehari itu turut dimuatkan dengan beberapa pembentangan kertas kerja daripada seorang penceramah undangan Syarikat Latihan dan Konsultan Perniagaan K.C.M & Association Co, Ltd Bangkok, Thailand, Chomchai (Sorajja) Morya.

Antara tajuk yang dibentangkan termasuklah Pengaruh dan Kesan Globalisasi, Perubahan Diri Cara Hidup Moden, Nilai dan Strategi Perniagaan, Pemimpin dan Kepimpinan.

Sementara itu pada sebelah petangnya turut dimuatkan dengan sesi demonstrasi memasak Tom Yam, Thai Yam-Yam dan Char-Kui untuk menambahkan lagi pengetahuan dan kemahiran kepada kalangan kaum wanita yang menyertai seminat tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA