Mempromosi peluang perniagaan Brunei

Mempromosi peluang perniagaan Brunei

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Serombongan 14 orang delegasi perniagaan Wilayah Yunnan, China berada di negara ini untuk meraih lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan terutamanya dalam produk makanan halal, pertanian dan pelancongan.

Dalam taklimat hari ini, Dewan Perniagaan Melayu dan Industri yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Haji Awang Ghazali bin Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri berkata begitu banyak pelaburan langsung asing (FDI) kini dibuka kepada pelabur luar negara dengan syarat mereka layak dan memenuhi kriteria.

“Agensi-agensi berkaitan di Negara Brunei Darussalam pada awalnya akan membuat penilaian ke atas keupayaan pelabur dan kemudian membuat syor kepada kementerian yang berkaitan seperti dalam pembangunan perumahan. Pihak Dewan adalah lebih daripada gembira untuk membuat pengesyoran bagi para pelabur dan memberitahu mereka bagaimana lebih mudah untuk menjalankan FDI di negara ini,” katanya.

Haji Awang Ghazali berkata, Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri juga menggesa Dewan Perniagaan Melayu dan Industri Brunei untuk menjadi pusat tumpuan bagi perniagaan berkaitan dengan Brunei Darussalam dan China dan juga menjemput perniagaan tempatan untuk sesi padanan perniagaan.

Sementara itu, Naib Presiden Dewan Perniagaan Umum Wilayah Yunnan, Yang Jincai, berkata sebelum melawat Brunei Darussalam, mereka terlebih dahulu melawat Singapura dan Malaysia untuk bukan sahaja melihat peluang pelaburan tetapi juga melihat peluang perniagaan.

Ketika sesi perbincangan dan perkongsian dijalankan.
Ketika sesi perbincangan dan perkongsian dijalankan.

Delegasi China itu kemudian bertanyakan industri mana di negara ini menyediakan peluang yang baik bagi para pelabur atau industri mana mereka boleh libatkan diri dan bagaimana mereka boleh berhubung dengan Dewan Perniagaan dan Industri lain di sini.

Menjawab persoalan itu, Haji Zainal bin Haji Harun dari ‘Back to Nature’ Tour Services Sdn Bhd yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu menekankan mengenai hutan asli di negara ini sebagai titik jualan yang boleh diketengahkan.

“Sebanyak 70 peratus dari kawasan di sini masih ditutup dengan hutan dan dipelihara sebagai persekitaran alam semula jadi. Oleh itu terdapat potensi besar bagi sektor eko-pelancongan. Malah, kira-kira 60 hingga 70 peratus pelancong datang ke Brunei Darussalam adalah dari China,” tambahnya.

“Kami baru sahaja menubuhkan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan kini ia adalah masa yang sesuai untuk mempromosi pelancongan. Kami sedang mencari FDI untuk meningkatkan industri pelancongan kami memandangkan kami masih baru dalam sektor ini,” tambah Haji Zainal lagi.

Jincai dalam balasannya berkata kedua-dua negeri Yunnan dan Brunei Darussalam boleh saling bekerjasama dan meraih peluang pelancongan seperti itu. Potensi perniagaan adalah besar dan kedua-duanya boleh bekerjasama dengan kukuh pada masa hadapan.

Sementara itu, Ahli Pengurusan Perniagaan Dewan, Haji Abdul Rahman berkata, pertanian merupakan satu lagi bidang berpotensi di mana ahli perniagaan Yunnan boleh terokai di mana mereka boleh membuat pembungkusan semula produk mereka menggunakan logo Brunei Halal dan eksport ke pasaran luar negara.

“Kita juga perlu mencari teknologi baru untuk mengurangkan tenaga kerja, kaedah pemprosesan yang baik dan kakitangan dilatih untuk menghasilkan produk yang berkesan,” katanya.

Sementara itu, ahli PKS Dewan dari Riza Group, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman, menekankan mengenai peluang-peluang dalam industri ternakan ayam di mana jika China berminat untuk menjadi rakan kongsi bersama, mereka amat dialu-alukan.

Seorang ahli perniagaan China yang hadir pagi ini telah menunjukkan minat untuk mendapatkan kaki ayam yang dibekalkan dari Brunei Darussalam.

Haji Ghazali berkata mereka memerlukan pelabur untuk meningkatkan keperluan pengeluaran ternakan ayam berjumlah berjuta-juta dolar.

ARTIKEL YANG SAMA