Mempromosi produk Daerah Tutong

Mempromosi produk Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Bagi mengetengahkan serta mempromosikan produk-produk dan Program Destinasi Tutong, Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, dan Jabatan Daerah Tutong telah menyertai pameran sempena Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Ogos di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Ketua Pegawai Eksekutif Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali ketika ditemu bual menjelaskan, pameran tersebut mengetengahkan serta mempromosikan produk-produk dan Program Destinasi Tutong melalui promosi pakej-pakej lawatan ke Daerah Tutong kepada para delegasi dan orang ramai sebagai kaedah serta platform untuk mempromosikan Daerah Tutong secara efektif.

Selain itu, tambahnya, pameran yang dijalankan melalui sidang kemuncak itu akan dapat menjalinkan rangkaian atau business networking para delegasi khususnya dalam memajukan lagi industri pelancongan di Daerah Tutong.

Pameran tersebut telah menampilkan Galeri 1K1P (Satu Kampung Satu Produk) bagi mengetahui lebih dekat lagi produk-produk kampung yang dihasilkan oleh ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong di samping penerangan ringkas mengenai aktiviti perekonomian penduduk Daerah Tutong dan fungsi Galeri 1K1P.

Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dan Jabatan Daerah Tutong menyertai pameran Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik selama tiga hari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dan Jabatan Daerah Tutong menyertai pameran Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik selama tiga hari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Awang Muhammad Amir menyatakan harapan agar pameran ini akan memberi kesan yang positif ke arah kemajuan Daerah Tutong khususnya dalam memacu perkembangan industri pelancongan Destinasi Tutong, selain itu, melalui pameran itu akan dapat memperkenalkan lagi Daerah Tutong kepada para delegasi dengan adanya keunikan budaya, warisan dan keindahan alam semula jadi yang mampu menarik pelawat dan pelabur di Daerah Tutong.

Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong berperanan sebagai ejen pengurus tadbir menyelaras dan mempromosi program dan aktiviti pelancongan yang menjurus kepada usaha sama padu dengan majlis perundingan mukim dan kampung dengan matlamat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Salah seorang peserta sidang kemuncak, Hajah Roshanizah binti Haji Rosli yang menyaksikan pameran tersebut berkata, pameran yang diadakan ini dapat mengetengahkan dan memperkenalkan lagi produk-produk tempatan dari beberapa syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, dengan adanya pameran tersebut, seperti Pameran Galeri 1K1P yang mempamerkan satu produk bagi setiap kampung, orang ramai dan para delegasi akan mengetahui produk-produk keluaran kampung itu sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA