Memudahkan pendaftaran cap dagang

Memudahkan pendaftaran cap dagang

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Brunei Darussalam telah menyerahkan dokumen penerimaan Protokol Madrid bagi Pendaftaran Cap Antarabangsa kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) di Geneva pada 6 Oktober lalu, menjadikannya anggota ke-98 dalam Sistem Madrid tersebut.

Perkara ini diumumkan oleh Pejabat Harta Intelektual Brunei (BruIPO), Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini, dengan berkata, bagi Brunei Darussalam protokol berkenaan akan berkuat kuasa pada 6 Januari 2017.

Kenyataan itu menjelaskan, Protokol Madrid untuk Pendaftaran Cap Antarabangsa merupakan sistem utama bagi melancarkan pendaftaran cap dagang dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

Sistem Madrid membolehkan pemilik jenama tempatan di Brunei Darussalam melindungi cap mereka di 114 buah wilayah dalam 98 buah negara anggotanya, dengan memfailkan satu permohonan antarabangsa dalam satu bahasa dan membayar satu set bayaran dalam satu mata wang (Swiss Francs).

Dengan proses Sistem Madrid yang jelas dan mudah, syarikat-syarikat asing dan pemilik cap dagang kini boleh mendapatkan perlindungan untuk cap mereka apabila memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka di Brunei Darussalam.

Perwakilan Tetap Brunei Darussalam di Geneva, Dato Paduka Haji Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman bersama Ketua Pengarah WIPO, Dr. Francis Gurry dan Pengerusi Madrid Union Assembly, Miguel Angel Margain Gonzalez.
Perwakilan Tetap Brunei Darussalam di Geneva, Dato Paduka Haji Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman bersama Ketua Pengarah WIPO, Dr. Francis Gurry dan Pengerusi Madrid Union Assembly, Miguel Angel Margain Gonzalez.

Selain daripada Sistem Madrid, BruIPO telah melaksanakan dua sistem pendaftaran antarabangsa yang dikawal oleh WIPO iaitu Perjanjian Kerjasama Paten (PCT) dan Sistem Hague untuk Pendaftaran Reka Bentuk Industri Antarabangsa masing-masing pada 2012 dan 2013.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk mempertingkat perkhidmatannya kepada orang awam, BruIPO baru-baru ini juga telah memperkenalkan Kiosk Pencarian Cap Dagangan (Trade Mark Search Kiosk) di Pusat Sokongan Perniagaan (BSC), Bangunan Reka Bentuk & Teknologi (D&T), Anggerek Desa yang membolehkan perkhidmatan mencari cap dagang dilakukan menerusi Pangkalan Data Jenama Global (GBD) WIPO dan pangkalan data View ASEAN yang boleh digunakan secara percuma.

Dalam satu kenyataan berasingan, BruIPO menjelaskan bahawa kiosk berkenaan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk mempertingkat perkhidmatan kepada orang awam dengan tujuan menjadikan data mengenai cap-cap dagang berdaftar lebih mudah diakses oleh orang awam. Pangkalan data yang digunakan di kiosk berkenaan juga boleh diakses secara dalam talian oleh mereka yang ingin memfailkan cap dagang.

Bersama dengan Singapura dan Filipina, Brunei Darussalam kini mengekalkan salah satu masa pusing ganti paling singkat untuk pendaftaran cap dagang di rantau ini pada kurang enam bulan dan buat masa sekarang sedang menimbang untuk mempertingkat lagi perkhidmatan cap dagangnya dengan memperkenalkan sistem e-fail pada masa akan datang dan perlaksanaan Protokol Madrid untuk Pendaftaran Cap Antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, BruIPO juga menawarkan perkhidmatan berkaitan IP lain untuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) yang menyediakan para inovator dengan akses kepada maklumat berkualiti tinggi dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan yang berkua-liti tinggi, dengan matlamat membantu mereka mengeksploitasi potensi inovatif mereka serta mencipta, melindungi dan mengurus hak harta intelektual (IPR) mereka.

Di antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh BruIPO menerusi TISC termasuk bantuan dalam mencari dan mengeluarkan maklumat teknologi; latihan dalam mencari pangkalan data dan maklumat asas mengenai undang-undang harta industri; pengurusan dan strategi serta nasihat mengenai pemerdagangan teknologi dan pemasaran.

Maklumat lanjut mengenai pendaftaran antarabangsa dan perkhidmatan-perkhidmatan BruIPO boleh diperoleh daripada meja bantu mereka di Pusat Sokongan Perniagaan (BSC), sementara itu maklumat-maklumat yang boleh dimuat turun seperti borang dan jadual bayaran boleh diperoleh menerusi laman BruIPO di laman web EIDPMO di alamat www.ei.gov.bn.

Sebarang pertanyaan mengenai prosedur pendaftaran boleh dihantar menerusi e-mel ke alamat enquiries@bruipo.gov.bn atau menghubungi talian 2230965/2230966.

ARTIKEL YANG SAMA