Memudahkan pe...

Memudahkan perbandingan harga

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Bagi memudahkan para pengguna untuk membuat tinjauan dan perbandingan harga barangan keperluan dengan lebih mudah menggunakan peranti pintar mereka, Bahagian Hal Ehwal Pengguna (CAD), sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Kawalan Harga, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelancaran aplikasi mudah alih Pengguna Bijak / Smart Consumer.

JPKE dalam kenyataannya menjelaskan, tujuan utama aplikasi mudah alih itu adalah untuk mendidik dan memperkasa para pengguna untuk menjadi pengguna bijak dengan menyediakan platform perbandingan harga serta memperkenalkan undang-undang yang berkaitan dengan kepenggunaan dan menyediakan platform bagi membuat aduan.

Aplikasi mudah alih Pengguna Bijak / Smart Consumer berkenaan mempunyai fungsi utama bagi membolehkan para pengguna membuat tinjauan dan perbandingan harga barangan keperluan harian.

Selain daripada itu, aplikasi berkenaan turut menyediakan maklumat mengenai harga barangan yang tersenarai di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 serta juga mengandungi bahan maklumat pendidikan mengenai perlindungan pengguna dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kawalan harga.

Aplikasi mudah alih, Pengguna Bijak/Smart Consumer yang kini boleh dimuat turun oleh orang ramai.
Aplikasi mudah alih, Pengguna Bijak/Smart Consumer yang kini boleh dimuat turun oleh orang ramai.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi mudah alih itu di iTunes App Store bagi pengguna iOS dan Google Play Store bagi pengguna Android.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai aplikasi berkenaan, mereka boleh melayari laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn/cad atau hubungi JPKE melalui CAD di talian 2230223 semasa waktu pejabat, atau Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE atau e-mel di aduanpengguna@jpke.gov.bn.