Memudahkan perihal perniagaan

Memudahkan perihal perniagaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Berkuat kuasa 1 September 2016, polisi dan tatacara pembayaran wang taruhan pekerja asing akan diubah bagi mengurangkan beban majikan dalam membayar wang taruhan pekerja asing.

Perubahan ini bertujuan untuk mendukung hasrat dan misi kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mewujudkan suasana pro perniagaan dan komitmen Jabatan Buruh dalam memperbaiki iklim perniagaan secara berterusan (‘Ease Of Doing Business’).

Perkara ini telah dijelaskan dalam sidang media yang berlangsung di Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, baru-baru ini.

Perubahan dan tatacara dalam pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing di Jabatan Buruh itu memfokuskan kepada dua perkara, pertama penggunaan Jaminan Insurans / Takaful Pekerja Asing (JITPA) bagi pembayaran wang taruhan pekerja asing selain secara tunai dan dengan jaminan bank (seperti lazimnya dibuat pada masa ini) dan kedua, kadar wang taruhan pengambilan pekerja asing diturunkan kepada kadar yang lebih rendah dan berpatutan.

Di bawah Peraturan 6 daripada Peraturan-Peraturan Buruh iaitu Lesen Pengambilan Pekerja Asing, Akta Buruh (Penggal 93) dan Bab 112, Perintah Pekerjaan 2009, setiap majikan yang mengambil dan menggaji pekerja asing dikehendaki untuk menyediakan sejumlah wang taruhan kepada Pesuruhjaya Buruh.

Ini bertujuan untuk membiayai kos ganti rugi kepada pihak kerajaan Brunei Darussalam khususnya pembiayaan sara hidup, perumahan, perubatan, dan pemulangan/penghantaran balik pekerja tersebut ke negara asal mereka, jika sekiranya berlaku kes pertikaian dan /atau dikehendaki oleh Pesuruhjaya Buruh.

Sehubungan itu, setiap majikan yang mengambil pekerja asing dikehendaki untuk mengambil maklum dan perhatian mengenai dengan perkara-perkara seperti secara amnya, pembayaran wang taruhan pekerja asing boleh dibayar menggunakan tiga kaedah.

Ini seperti pembayaran secara tunai, jaminan bank dan JITPA yang mana JITPA merupakan satu kaedah pembayaran wang taruhan yang baru diperkenalkan di negara ini.

Manakala itu, bagi pembayaran wang taruhan pekerja asing untuk perkhidmatan rumah tangga persendirian, cara pembayaran wang taruhan masih dikekalkan iaitu seperti pembayaran tunai atau diberikan pengecualian daripada membayar wang taruhan saja iaitu khusus untuk pegawai-pegawai kerajaan saja.

Kadar wang taruhan pengambilan pekerja asing juga diturunkan kepada kadar yang lebih rendah dan berpatutan.

Bermula 1 September 2016 juga, setiap permohonan sokongan pas kerja (BUR500) / kebenaran khas yang telah mendapat kebenaran dari Jabatan Buruh boleh dibuat dengan dua cara iaitu majikan boleh membayar secara tunai dengan menggunakan kadar wang taruhan yang baru atau majikan boleh membayar menggunakan JITPA.

Bagi permohonan pembayaran menggunakan jaminan bank yang dihadapkan kepada pihak bank bermula pada 1 September 2016, pihak bank bolehlah menggunakan kadar wang taruhan yang baru.

Begitu juga dengan pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing untuk perkhidmatan rumah tangga persendirian, jumlah wang taruhan boleh dibayar dengan kadar wang taruhan yang baru.

Sehubungan itu, majikan yang menggaji dan mengambil pekerja asing boleh menghubungi operator insurans atau takaful yang berdaftar di negara ini bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk JITPA.

Pada masa ini, syarikat insurans atau takaful yang mengeluarkan produk tersebut adalah Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA).

Untuk keterangan lanjut mengenai perubahan dalam pembayaran wang taruhan ini, majikan dan pihak yang berkepentingan bolehlah menghubungi Unit Kewangan, Jabatan Buruh di talian 2382703 dan 2380256 sambungan 2300, 2301 dan 2302 ataupun berkunjung ke Unit Kewangan Tingkat 1, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Buruh.

Sementara itu, jerayawara akan diadakan di setiap daerah bagi memberikan penerangan lebih lanjut kepada majikan dan pihak yang berkepentingan.

Sidang media itu dihadiri oleh pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Zulhimi bin Haji Abidin, pemangku pengarah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Buruh, pegawai-pegawai kanan Unit PENGGERAK JPM, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Autoriti Monetori Brunei Darussalam, Persatuan Takaful Insurans Brunei, Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd, Syarikat Insurans TAIB Sdn Bhd, dan wakil-wakil dari bank-bank tempatan seperti Bank Islam Brunei Darussalam dan United Overseas Bank.

 

ARTIKEL YANG SAMA