Memupuk kesepaduan dan semangat kejiranan

Memupuk kesepaduan dan semangat kejiranan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT – Dalam usaha untuk mengajak dan menanamkan semangat gotong royong dan ikatan kesepaduan dalam kalangan hidup berjiran serta mempereratkan lagi ikatan silaturahim antara penduduk kampung, satu program Solat Subuh Berjemaah, Beriadah dan Beribadah telah diadakan di Perumahan Kampung Pandan C baru-baru ini.

Program itu dianjurkan oleh Canag Citra Event Management dengan kerjasama beberapa komuniti penduduk kampung dan disertai oleh beberapa orang penduduk kampung kawasan RPN Kampung Panaga, Rakyat Jati Lorong Tiga Seria serta Kampung Sungai Teraban. Program ini dihasrat untuk menjadi satu acara susulan dari semasa ke semasa dengan melibatkan lebih ramai penyertaan daripada penduduk kampung khususnya di Daerah Belait.

Pengerusi Canang Citra Event Management, Haji Zaini bin Haji Munir, dalam temu bual bersama Media Permata, menjelaskan aktiviti ini juga adalah bersempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438, serta ianya dijadikan sebagai pengisian aktiviti hari percutian penggal akhir persekolahan bagi tahun 2016, terutama sekali bagi kalangan pelajar-pelajar di sini.

Memupuk kesedaran

“Projek ini juga adalah sebagai mendidik diri kita sendiri, dan kesedaran untuk masyarakat umum, supaya mempunyai sikap kekitaan dan sentiasa rasa bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar, demi kepentingan keselamatan bersama dan projek ini juga adalah bagi menyahut hasrat kerajaan supaya semua penduduk dan masyarakat di negara ini sama-sama  melibatkan diri dalam penjagaan kebersihan dan keindahan alam sekitar” kata Awang Haji Zaini.

Projek tersebut yang juga melibatkan sama kalangan badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), adalah juga untuk memupuk kefahaman tentang alam sekitar dan juga menghargai kegiatan yang juga boleh menjaga kesihatan daripada aktiviti berjalan kaki dan berbasikal sambil mengutip sampah sarap, ia juga dilihat sebagai satu langkah bagi mengelakkan daripada segala macam penyakit dibawa oleh binatang dan serangga seperti nyamuk, lalat, anjing liar dan sebagainya.

Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan projek tersebut hari ini, ialah Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali, hadir sama ialah Ketua Kampung Sungai Teraban, Haji Morsidi bin Haji Mohd Sara, dan ahli-ahli daripada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, serta ahli-ahli NGO’s dan penduduk kampong.

ARTIKEL YANG SAMA