Memupuk minat Sains melalui Science Outreach Programme

Memupuk minat Sains melalui Science Outreach Programme

LEBIH daripada seratus pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 dari sekolah-sekolah rendah Daerah Tutong telah berkunjung ke PTE Tutong (PTET) untuk menghadiri acara sulung Jabatan Sains, di Pusat Tingkatan Enam tersebut. Acara yang dikenali sebagai Science Outreach itu adalah kali pertama dianjurkan oleh Jabatan Sains dalam sejarah PTET.

Aktiviti ini bertujuan untuk memupuk semangat minat terhadap pelajaran sains di kalangan generasi muda, yang mana mereka tidak didedahkan kepada pengalaman makmal dalam perjalanan pendidikan mereka. Turut hadir untuk merasmikan acara tersebut ialah pengetua pusat berkenaan, Dayang Hamidah Haji Daud dan timbalan-timbalan pengetua, Awang Almasri Haji Sulaiman dan Dayang Roziena Haji Zini.

Pelajar-pelajar PTET juga turut terlibat dalam membantu pendaftaran pelajar-pelajar sekolah yang menyertai aktiviti tersebut. Manakala selebihnya bertugas sebagai Ushers dan juga menjadi Junior Demonstrators, untuk menunjukkan pelbagai eksperimen mengenai sains.

Pengetua Pusat Tingkatan Enam Tutong merakamkan gambar bersama pelajar-pelajar yang mengikuti aktiviti tersebut.
Pengetua Pusat Tingkatan Enam Tutong merakamkan gambar bersama pelajar-pelajar yang mengikuti aktiviti tersebut.
Aktiviti fizik dengan salah satu stesen untuk menerbangkan roket air.
Aktiviti fizik dengan salah satu stesen untuk menerbangkan roket air.

pgm3_151126_c

Ketua Jabatan Sains PTET, Awang Bryan David Haysum, dalam ucapan alu-aluannya, berkata, “Salah satu cara yang terbaik untuk mempelajari sains adalah dengan kajian penemuan dan aktiviti-aktiviti yang diadakan ini akan dapat memberikan peluang untuk pelajar-pelajar terlibat secara amali dan saya turut berharap anda akan dapat menikmati dan mengambil manfaat daripada pengalaman yang bernilai ini”.

Aktiviti-aktiviti

Pelajar-pelajar berpeluang untuk mencuba pelbagai eksperimen, seperti menembak roket air yang berdasarkan kepada idea mekanik Newton. Membedah hati kerbau untuk mengkaji anatominya dan juga melakukan eksperimen pembekuan serta-merta berdasarkan perubahan tenaga disebabkan oleh reaksi kimia.

Pelbagai eksperimen juga turut diadakan di beberapa stesen mini yang telah dikendalikan oleh para sukarelawan pelajar PTET. Eksperimen ini adalah untuk memberikan pelajar PTET satu peluang dalam menunjukkan kemahiran mereka untuk memberikan idea-idea sains secara berkesan kepada kanak-kanak. Aktiviti ini juga turut dimeriahkan lagi dengan pertandingan kuiz dan mencuba sejauh mana kefahaman setiap pelajar dalam memahami pembelajaran sains.

Ketika ditemui, Awang Bryan berkata, “Sambutan adalah sangat menggalakkan dan pelajar-pelajar menunjukkan semangat yang tinggi untuk mengikuti aktiviti ini dan saya amat berterima kasih kepada guru-guru mereka yang turut hadir dalam aktiviti ini.”

Jabatan Sains PTET bercita-cita untuk meneruskan lagi aktiviti ini sebagai acara tahunan dan berkemungkinan akan memperluaskannya ke sekolah-sekolah rendah yang lain di Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA