Menabung untu...

Menabung untuk akhirat, dapat ganjaran hebat kemudian hari

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Status tersendiri dan ganjaran hebat Allah S.W.T sediakan kepada orang yang membina masjid, tidak mengira saiz atau ukuran kapasitinya, tetapi ia dilihat sebagai masjid kerana di sisi Allah S.W.T, masjid itu tetap masjid, apa pun keadaannya.

Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah bersabda bahawa ‘Barang siapa yang membina masjid kerana Allah S.W.T, walau umpama sarang burung atau lebih kecil lagi, nescaya Allah S.W.T bina untuknya rumah di dalam syurga’.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menekankan ganjaran syurga itu ketika menyampaikan Khutbah Jumaat Khas di masjid baru Kampung Kulapis, Masjid Pehin Khatib Abdullah semasa sembahyang Fardu Jumaat pertama masjid itu hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, “Rumah dalam syurga akan jadi habuan bagi mereka yang membina masjid, tidak kira besar ataupun kecil, yang penting membina, kerja membina, belanja membina, keterlibatan membina dan lebih-lebih lagi pentingnya niat untuk membina, apa qasat kita, apa niat kita membina masjid.”

Di Brunei sendiri sudah ada peluang untuk semua orang terlibat membina masjid melalui tabung dana pembinaan masjid yang telah pun dilancarkan semenjak 4 Jun 2015 lalu. Penubuhan dan pelancaran dana ini adalah atas titah dan wawasan raja kita untuk membawa umat Islam negara ini bertanam saham di akhirat dan setakat ini, kita sudah mempunyai jawatankuasa untuk mengutip dan mentadbir dana tersebut di bawah kementerian berkenaan, jelasnya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama kerabat diraja lainnya berkenan menunaikan sembahyang Fardu Jumaat di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama kerabat diraja lainnya berkenan menunaikan sembahyang Fardu Jumaat di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.

“Sumbangan ini bagaimanapun bukanlah mandatori, tetapi lebih bersifat seangkat-angkat hati iaitu siapa yang suka banyak, boleh sahaja menyumbang banyak, atau sedikit mengikut kesukaan masing-masing,” tambah Yang Berhormat Pehin.

Beliau turut memaklumkan jumlah dana yang berjaya dikumpulkan setakat ini yang menghampiri angka $4 juta, jumlah itu belum lagi ditambah dengan sumbangan keseluruhan pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam yang berjumlah 60,000 orang. Sumbangan itu hanya diterima daripada 15 peratus penyumbang atau kurang daripada itu.

“Nah bayangkan! Jika yang menyumbang terdiri daripada 80 peratus? Kita optimis, dana ini sekarang sudah mula difahami dan diminati. Sumbangan adalah semakin mantap diterima melalui pemotongan gaji. Allah S.W.T telah meluruskan jalan setiap orang ke arah tampil menabung untuk pahala di akhirat. Ya, mari saudara! Mari saudara! Sama-sama kita menyumbang untuk masjid. Sumbangan tidak kira, banyak atau sedikit. Bagi mereka yang kurang mampu, sedikit pun, juga tetap bererti. Allah S.W.T akan menjawat sumbangan yang sedikit, sama dengan Dia menjawat sumbangan yang banyak,” jelasnya.

Menurut hadis Rasulullah S.A.W, sedekah atau sumbangan kita walau sekadar separuh buah kurma adalah mampu untuk menyelamatkan kita daripada api neraka.

“Maka demikian itulah, seringgit/dua ringgit sumbangan kita kepada dana pembangunan masjid, insya Allah, akan menghadirkan sebuah rumah di dalam syurga.

“Cuma soalnya kita mesti ikhlas: kita bersedekah ikhlas walau sedikit. Kita menyumbang ikhlas walau sedikit, ikhlaslah pembersih amal. Tanpa ikhlas, amalan akan dilabel riya’ dan riya’ tidak ada markah di sisi Allah S.W.T,” tegasnya.

Mufti Kerajaan ketika menyampaikan Khutbah Jumaat di masjid baru Kampung Kulapis, Masjid Pehin Khatib Abdullah.
Mufti Kerajaan ketika menyampaikan Khutbah Jumaat di masjid baru Kampung Kulapis, Masjid Pehin Khatib Abdullah.

Menurutnya lagi, ikhlas itu adalah punca segala kebaikan. Orang yang melakukannya adalah orang tulus kepada Allah S.W.T dan lurus kepada sesama manusia. Orang yang demikian inilah yang diberi jolokan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran sebagai ‘Muhlishin Nalahudin’, yang tulus ikhlas, yang beragama dan beramal semata-mata hanya kerana Allah S.W.T. Manakala orang beragama semata-mata hanya kerana Allah, dunianya adalah gemilang, dan lebih-lebih lagi akhiratnya pasti cemerlang.

Ini kerana dunia hanyalah pinjaman, manakala akhirat adalah kekal abadi, tidak akan pernah punah, tidak akan pernah musnah dan tidak akan berlaku sama sekali kematian di dalamnya.

“Semua adalah hidup. Semata-mata hidup. Baik penduduk syurga mahupun neraka, semuanya hidup, tiada mati-mati. Cuma bentuk kehidupan itu sahaja berbeza, kerana kehidupan di syurga penuh nikmat, sementara di neraka pula penuh dengan azab sengsara. Inilah hakikat yang akan kita tempuh sebagai hamba,” katanya.

Dari itu, Yang Berhormat Pehin turut mengajak kita berdoa, semoga kita dirahmati oleh Allah S.W.T, ditempatkan dalam syurgaNya.

“Pada saat ini, kita berada dalam hari yang paling istimewa, yang dipanggil hari Jumaat. Pada hari ini, terdapat satu saat ‘Sa’atul Ijabah’, saat di mana semua doa adalah diterima, kecuali doa yang mengandungi dosa atau maksiat. Nah, kalau begitu, mari kita betul-betul menghayati hari ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA