Menang dapat trak

Menang dapat trak

CONCEPCION, Chile, 30 Jun (Reuters) – Jurulatih Paraguay, Ramon Diaz yang terkenal dengan kaedah motivasi mendedahkan, dia berhutang dua trak pikap dan tambahan sebuah lagi terhadap skuad bimbingannya seandainya menewaskan Argentina di separuh akhir Copa America, hari ini.

Argentina adalah pilihan untuk memenangi perlawanan itu nanti, di sini, sekali gus melangkah ke pentas final bertemu tuan rumah, Chile.

“Adakah saya menjanjikan sesuatu kepada skuad? Tanya kepada pemain-pemain, mereka sudah menang dua,” kata pengendali kelahiran Argentina itu ketika sidang media sambil ketawa.

Penyerang, Edgar Benitez kemudian mengesahkan; “Kami sudah memenangi dua trak pikap daripadanya dan kami memburu yang ketiga.”

Diaz berkata, kejayaan Paraguay mara ke peringkat empat terakhir dikuatkan dengan keinginan untuk menebus kegagalan mara ke pusingan akhir Piala Dunia, tahun lalu.

Pemain Paraguay Derlis Gonzalez (dua kiri) semasa menghadiri latihan sebagai persediaan untuk menghadapi Argentina di separuh akhir esok. – Reuters
Pemain Paraguay Derlis Gonzalez (dua kiri) semasa menghadiri latihan sebagai persediaan untuk menghadapi Argentina di separuh akhir esok. – Reuters

“Saya fikir pasukan ini dahagakan dendam, kerana itu kami mara ke peringkat ini,” katanya.

Seandainya menang, ini final kedua berturut-turut buat Paraguay selepas 2011 yang ketika itu dibimbing Gerardo Martino, namun kini mengendalikan Argentina.

Paraguay bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Argentina pada perlawanan pembukaan Copa, hanya perlawanan keempat Diaz bersama skuad itu.

Sekalipun dibarisi beberapa pemain veteran yang melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2010, Diaz begitupun menghambur pujian kepada pemain tengah berusia 21 tahun, Derlis Gonzalez.

Gonzalez meledak jaringan penyamaan Paraguay ketika menentang Brazil di suku akhir menerusi penalti sebelum menjadi pemain terakhir menyempurnakan penentuan penalti sebelum melakar kemenangan 4-3.

“(Gonzalez) mempunyai karektor untuk melakukan dua penalti dalam keadaan amat sukar,” kata Diaz.