Menang pakej percutian ke Malaysia

Menang pakej percutian ke Malaysia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Dayang Reny Diana binti Haji Momin muncul sebagai pemenang bertuah dan membawa pulang hadiah berupa pakej percutian dari Pelancongan Malaysia dan 100,000 mata hadiah dalam Kempen Keistimewaan Kad BIBD.

Majlis penyampaian hadiah berlangsung di Kelab Rekreasi Diraja Brunei, kelmarin dan disampaikan bersama oleh Pengurus Produk Kad BIBD, Dayangku Siti Amal Zuria binti Pengiran Haji Jadid dan Pengarah Pelancongan Malaysia Cawangan Brunei Darussalam, Dayang Zurina binti Abdul Samad.

Kempen musim kedua itu merupakan satu kerjasama di antara BIBD dan Pelancongan Malaysia di mana hadiah utama kempen ialah pakej percutian ke Malaysia termasuk dua tiket penerbangan pergi dan balik, pakej penginapan empat hari tiga malam dan tempahan kereta selama 12 jam bagi memudahkan para pemenang untuk membeli-belah di lokasi popular di Kuala Lumpur.

Di samping itu, 100,000 mata hadiah dari BIBD itu boleh ditukar kepada gantian yuran tahunan, sumbangan amal, ‘Air Miles’ dan juga rebat tunai.

Dayang Reny Diana menerima hadiah daripada Dayangku Siti Amal Zuria dan Dayang Zurina.
Dayang Reny Diana menerima hadiah daripada Dayangku Siti Amal Zuria dan Dayang Zurina.

Kempen yang bermula dari 27 Jun hingga 31 Ogos itu dianjurkan sempena Karnival Jualan Besar-besaran 1Malaysia 2015 dan Pesta Pelancongan Brunei 2015 di mana pelanggan BIBD layak untuk memasuki dan menang cabutan bertuah jika mereka menggunakan kad BIBD di kedai-kedai di Malaysia semasa tempoh promosi berkenaan.

Menurut BIBD, pelanggan mereka yang berminat untuk menyertai kempen itu dan memenangi pelbagai hadiah menarik akan mendapat satu lagi peluang apabila musim ketiga kempen kad dilancarkan November nanti.

ARTIKEL YANG SAMA