Menang pertandingan Custom Bike

Menang pertandingan Custom Bike

Oleh Mohammad Abdullah

 

SIBU Sarawak, 8 Dis – Tiga orang peserta Brunei telah memenangi tiga kategori pertandingan ubah suai motosikal semasa Minggu Motosikal Sibu yang berlangsung selama tiga hari di Sibu, Sarawak, Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, Awang Siran Bakir memenangi kategori ‘Japanese Chopper,’ Awang Jaimi bin Haji Jaludin bagi kategori ‘Custom Loud Pipe Easy Rider’ dan Awang Azrin bin Haji Othman memenangi kategori ‘Japanese Bagger’.

Bagi Awang Jaimi dan Awang Azri, ini merupakan kali pertama mereka mengikuti pertandingan Custom Bike dan memenangi kategori tersebut menjadi kebanggaan bagi mereka terutamanya setelah bekerja keras untuk mengubah suai dan mereka bentuk motosikal semata-mata untuk mengikuti acara tersebut.

Manakala itu, Awang Siran telah memenangi beberapa kategori ubah suai sejak acara itu dipertandingkan lima tahun lalu.

Walaupun beliau kalah dalam kategori ‘Overall Custom’, akan tetapi beliau tidak pernah tewas dalam kategori ‘Japanese Custom Chopper’.

Awang Azrin menerima Anugerah Japanese Custom Bagger.
Awang Azrin menerima Anugerah Japanese Custom Bagger.
Awang Jaimi menerima Anugerah Custom Loud Pipe Easy Rider.
Awang Jaimi menerima Anugerah Custom Loud Pipe Easy Rider.
Awang Siran menerimaAnugerah Japanese Custom Chopper bagi ke-5.
Awang Siran menerimaAnugerah Japanese Custom Chopper bagi ke-5.

Katanya pada tahun ini, beliau telah mempertandingkan semula motosikalnya yang dinamakan Prentis, iaitu motosikal pertama yang telah memenangi kategori ‘Japanese Custom Chopper’ lima tahun lalu.

“Tidak ada pengubahsuaian telah dibuat pada rangka motosikal sejak lima tahun dahulu. Hanya catnya sahaja yang diganti. Bentuk, rangka dan juga konsep yang telah ditandingkan pada lima tahun dahulu telah dikekalkan,” kata Awang Siran.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh penganjur utama Minggu Motosikal Sibu, Abdul Razak semasa hari kemuncak acara berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA