Menara Kiulu dijangka operasi pada Jun

Menara Kiulu dijangka operasi pada Jun

KOTA KINABALU, 21 Jan – Empat menara telekomunikasi yang siap dibina di kawasan Kiulu dijangka beroperasi Jun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata perkembangan itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Wilayah Sabah dan Labuan Mazlan Othman dalam pertemuan di pejabat MCMC di sini.

“Saya dimaklumkan bahawa kelewatan (pengoperasian) menara berkenaan adalah disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,” katanya ketika dihubungi Bernama mengenai pertemuannya dengan MCMC Sabah itu.

Menurut Joniston, beliau juga dimaklumkan bahawa bermula Mac sehingga Jun depan, langkah akan diambil untuk mengoperasikan menara telekomunikasi yang sudah siap dibina, bukan sahaja di Kiulu tetapi juga di kawasan lain.

Menurutnya kelewatan pengoperasian menara berkenaan bukanlah sesuatu yang disengajakan dan kerajaan sedang dalam proses menyelesaikan masalah berkenaan.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata apabila menara berkenaan beroperasi kelak, ia akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk melibatkan hampir 20 kampung.

Pada 13 Februari tahun lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari mengumumkan sebanyak 79 menara telekomunikasi baharu dengan kos RM79 juta bakal dibina di Sabah secara berperingkat sehingga 2018 sebagai inisiatif meningkatkan perkhidmatan liputan selular di negeri ini.

Jailani berkata daripada jumlah itu, empat akan dibina di Kiulu yang sepatutnya mula beroperasi, Julai tahun lalu. – Bernama