Mencari cinta hingga ke Korea Selatan

CAN THO, Vietnam – Huynh Thi Thai Muoi mengambil risiko apabila dia meninggalkan rumahnya di pedalaman Vietnam untuk memulakan hidup baru di Korea Selatan bersama seorang lelaki yang baru dikenali.

Dia tidak pandai berbahasa Korea dan tidak tahu apa-apa tentang rumah barunya di Korea.

Suaminya pula berumur dua kali lebih tua daripadanya. Tetapi wanita yang berumur 23 tahun itu mahu mencari cinta dan permulaan yang baru. “Saya mahukan kehidupan baru, saya mahu mencabar diri saya sendiri dan melihat sama ada saya boleh berkembang maju atau tidak,” kata Muoi.

Muoi diperkenalkan kepada lelaki bujang berusia 43 tahun, Kim Kyeong-Bok, melalui sepupunya, yang juga berkahwin dengan warga Korea, dan pasangan itu kemudian berkahwin dalam beberapa hari selepas pertemuan.

Dia merupakan salah seorang daripada 40,000 pengantin perempuan Vietnam di Korea Selatan, sebuah destinasi utama bagi wanita untuk mencari cinta dan tiket untuk keluar daripada kemiskinan.

Nguyen Thi Kim Han (kanan) meminum jus bersama dengan dua anak perempuannya berdekatan dengan Pusat Korea bagi Dasar Hak Asasi Kemanusiaan PBB. – AFP

Kebanyakannya tidak tahu tentang negara itu selain K-pop atau filem-filem Korea, tetapi mereka tetap berkahwin dengan orang asing.

Tetapi buat Muoi, kehidupan barunya adalah di bandar Gwangju – dan suami barunya – telah, setakat ini, melepasi jangkaannya.

“Suami saya benar-benar mencintai saya, lebih daripada yang saya harapkan,” katanya.

Walaupun terdapat halangan bahasa, Kim mengajarnya untuk berbelanja dan memasak dan berharap dia akan membuat persahabatan di salah sebuah pusat komuniti berdekatan bagi pengantin-pengantin asing.

“Apabila saya pertama kali bertemu dengannya, saya berfikir, ‘inilah wanita yang akan menjadi isteri saya’. Saya sangat gembira, “jelas Kim.

Muoi adalah antara yang bertuah. Ramai wanita Vietnam yang lain telah menemui kehidupan baru mereka namun tidak sama dengan apa yang diimpikan: beribu-ribu orang telah kembali ke tanah air bercerai dan tidak merasa gembira.

“Wanita-wanita itu tidak mempunyai maklumat yang mencukupi sama ada mengenai suami mereka atau apa itu penghijrahan dan menetap di Korea,” kata Youn Sim Kim, pengarah Pusat Korea bagi Dasar Hak Asasi Manusia PBB (KOCUN), sebuah NGO di selatan wilayah Can Tho di mana ramai daripada mereka ini mengunjunginya.

Satu daripada lima pasangan Vietnam-Korea telah memfailkan perceraian pada tahun 2015, menurut data terkini dari Statistik Korea.

“Saya menyangka kehidupan di sana akan baik-baik saja seperti berada di Vietnam, mungkin satu-satunya perbezaan adalah makanan,” kata Le Thi The, kini telah bercerai dan tinggal di Can Tho.

Waktu bulan madunya berakhir hanya beberapa hari selepas dia sampai dan mendapati suaminya bukanlah seorang lelaki yang dia sangkakan.

“Saya meminta kepadanya untuk kembali pulang ke rumah dan dia memarahi saya, dia melemparkan segala barangan saya keluar dari rumah,” katanya.

Kebanyakan pengantin perempuan Vietnam menetap di kawasan pedalaman Korea Selatan, sebuah prospek yang menjadi kurang menarik bagi wanita-wanita Korea di mana bandar-bandarnya kini berkembang pesat dan mencuba meraih kerjaya yang diimpikan. Bilangannya semakin meningkat dan diantara mereka ada mengatakan bahawa perkahwinan bukanlah suatu kewajipan.

“Di beberapa buah kawasan tersebut, terdapatnya ketidakseimbangan jantina, di mana ramai wanita Korea Selatan yang berasal dari kawasan luar bandar kini berpindah ke pusat bandar, meninggalkan hidup yang serba kekurangan,” kata Paul Priest, bertindak sebagai ketua misi di Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi di Vietnam.

Dinh Thi Mong Kha, seorang wanita Vietnam berkahwin dengan lelaki Korea tetapi belum berpindah ke Korea Selatan, tersenyum ketika dia dipanggil semasa menghadiri kelas Bahasa Korea di Pusat Korea bagi Dasar Hak Asasi Kemanusiaan PBB di Can Tho. – AFP
Huynh Thi Thai Muoi (kanan) dan suaminya warga Korea Selatan, Kim Kyeong Bok, setelah tiba di lapangan terbang Incheon, barat Seoul. – AFP

Sebahagian besar wanita-wanita ini mengisi jurang perkahwinan yang mana berasal dari Delta Mekong Vietnam atau kawasan luar bandar China, sebahagian besarnya tertarik dengan perkembangan pesat Korea Selatan sejak dari abad yang lalu.

Masalah itu berterusan bagi mereka yang kembali ke Vietnam sejak dari perceraian mereka yang mana tidak diiktiraf di sisi undang-undang dan anak kelahiran-Korea mereka tidak layak untuk menghadiri sekolah-sekolah tempatan.

Ibu kepada dua anak, Nguyen Thi Kim Han, telah berkahwin dengan lelaki Korea pada tahun 2007 untuk membantu keluarga miskinnya.

Tetapi suaminya itu ternyata adalah seorang penagih perjudian yang hanya mengosongkan akaun bank keluarga – sebanyak dua kali.

“Pada mulanya dia sangat baik dan mempunyai budi pekerti, kami tidak mempunyai banyak wang namun itu tidak penting,” katanya kepada AFP, sambil menangis.

Tetapi dia kemudian mendapati dia telah kehilangan semua wang mereka dalam simpanan perdagangan yang lemah di pasaran saham.

“Tidak ada satu sen pun .. saya sangat terkejut,” kata Han.

Selepas suaminya melakukannya buat kali kedua, dia membawa anak-anak perempuannya itu kembali semula ke Vietnam, tetapi menghadapi kesukaran untuk menyekolahkan anak-anaknya, dan akhirnya berurusan dengan bantuan KOCUN.

Ditubuhkan pada tahun 2011, pusat ini menyediakan persiapan-persiapan bagi pengantin-pengantin baru ini mengenai kehidupan di Korea, mengajar mereka tentang iklim dan budaya, bahasa dan makanan tempatan dan juga menyokong mereka yang kembali ke tanah air.

Kebanyakan pasangan bertemu melalui broker perkahwinan haram di Vietnam, terkenal dengan sesi-pertemuan pengantin perempuan bagi lelaki-lelaki Korea di kawasan bilik tersembunyi.

Namun anggota polis di Vietnam telah berjaya menumpaskan broker tersebut, dan kerajaan Korea Selatan telah mengetatkan peraturan visa, sehingga perkahwinan asing sepertinya mulai menurun.

Muoi optimis mengenai hubungan barunya ini, tetapi mengakui kehidupannya di Korea Selatan mungkin akan menjadi sunyi.

Untuk mengurangkan kebosanan, dia mengikuti suaminya ke tempat kerja, duduk senyap sambil memerhatikan suaminya bekerja.

Muoi bercakap kepada keluarganya setiap hari pada telefon pintar yang dibeli oleh Kim, tetapi dia masih merindui tanah airnya itu.

“Setiap kali saya memikirkannya, saya akan menangis,” katanya. – AFP