Mencemaskan

Mencemaskan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Suasana di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menjadi riuh kira-kira jam 2 petang tadi apabila seorang wanita didapati duduk di luar jendela Tingkat 1 Bahagian Makmal Hospital RIPAS sambil bercakap dan berteriak.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, pihak pentadbiran telah bertindak dengan serta merta dan tidak lama selepas itu pihak Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Brunei tiba di tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan bersedia untuk menyelamatkan wanita tersebut. Seorang konsultan psikiatri, seorang pakar psikologi klinikal dan beberapa orang doktor, jururawat serta paramedik berada di tempat kejadian untuk menangani keadaan wanita tersebut.

Wanita tersebut, seorang penduduk tetap berusia 23 tahun telah diselamatkan oleh beberapa orang anggota Bomba dan Penyelamat tanpa kecederaan dan seterusnya diberi rawatan untuk menenangkannya, sebelum dibawa ke Unit Kesejahteraan Jiwa untuk rawatan selanjutnya.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk tidak turut menyebarluaskan perkara ini melalui media sosial seperti WhatsApp dan Facebook bagi menjaga dan menghormati keperibadian wanita berkenaan serta mengelakkan daripada kekeliruan umum.

ARTIKEL YANG SAMA