Mencuri: 2 penganggur kena lapan bulan

Mencuri: 2 penganggur kena lapan bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161111_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Dua penganggur dijatuhi lapan bulan penjara setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencuri dan membantu menjual barang curi.

Mohammad Amiruddin Putra bin Mirasan, 28, mengaku bersalah di hadapan Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli kerana mencuri amplifier Pevy milik ibunya di RPN Kampung Bukit Beruang, pada 5 November 2016 sekitar jam 7 malam.

Dalam kes berasingan, dia juga didakwa mencuri 12 biji rim sport dari sebuah rumah lain di RPN Kampung Bukit Beruang pada pagi 10 September 2016. Rakan sejenayahnya, Mohamad Sahrel Rifaie bin Haji Mohamad Nasir, 26, berdepan dakwaan membantu Mohammad Amiruddin Putra mencuri dan menjual barang curi tersebut.

Mohamad Sahrel Rifaie menjual amplifier itu dalam talian pada harga $250 dan hasilnya dibahagi antara mereka berdua untuk membeli dadah.

Kedua-dua tertuduh turut menjual empat daripada rim sport itu ke kedai besi buruk pada harga $30.80 dan wangnya dibahagi dua, yang mana mereka menggunakannya untuk membeli barang keperluan. Mohamad Sahrel Rifaie kemudian menjual rim sport yang selebihnya itu melalui laman Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Ibu Mohammad Amiruddin Putra yang menyedari amplifier miliknya telah hilang, terus membuat laporan polis keesokan harinya manakala pemilik rim sport turut membuat laporan polis pada 16 September. Keduanya diberkas pada 8 November 2016.

ARTIKEL YANG SAMA