Mendalami falsafah dan peranan MIB

Mendalami falsafah dan peranan MIB

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh KUPU SB

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Dalam usaha untuk memupuk nilai-nilai murni yang terkandung dalam falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), Bahagian Pentadbiran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama semua fakulti dan Pusat KUPU SB telah mengadakan Ceramah Khas Penerapan Falsafah MIB.

Hadir bagi menyampaikan ceramah yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah KUPU SB, pagi tadi, ialah mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, selaku penceramah undangan.

Ceramah itu merupakan antara pengisian rasmi Program Kemantapan Akidah dan Kerohanian bagi Bakal Graduan KUPU SB 2016 yang telah disertai oleh peserta program dan turut dihadiri oleh dekan-dekan fakulti, pengarah pusat dan kakitangan KUPU SB.

Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad semasa menyampaikan ceramah tersebut.
Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad semasa menyampaikan ceramah tersebut.

Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad dalam ceramahnya antara lain menyentuh mengenai dengan pengertian falsafah dan penerapan.

Menurut beliau, Brunei mempunyai falsafah Melayu Islam Beraja manakala setengah negara lain mempunyai falsafah negara mereka tersendiri seperti Malaysia dengan ‘Rukun Negara’ dan negara Indonesia dengan ‘Pancasila’.

Beliau berharap melalui ceramah ini, mahasiswa-mahasiswi KUPU SB akan dapat memahami falsafah MIB secara mendalam dan memahami peranannya dalam membawa kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara kerana ia merupakan satu identiti besar untuk mengenalkan negara kita di mata dunia.

Ceramah pagi tadi juga bertujuan untuk membentuk sahsiah pelajar ke arah kecemerlangan yang bertakwa di samping memberikan kesedaran kepada bakal graduan untuk sentiasa mendokong falsafah MIB.

ARTIKEL YANG SAMA