Mendarat tanpa tayar

WARSAW, 11 Jan – Seorang jurucakap bagi lapangan terbang antarabangsa Warsaw berkata semalam bahawa sebuah pesawat dari Poland yang membuat penerbangan domestik telah selamat melakukan pendaratan kecemasan dengan roda hadapan yang tidak berfungsi dan kesemua penumpang selamat.

Jurucakap Lapangan Terbang Chopin Warsaw, Adrian Kubicki berkata dalam TVN24 malam semalam bahawa roda hadapan pesawat Bombardier Dash Q400 tertutup semasa pendaratan, mengakibatkan muncung pesawat mengenai landasan.

Kubicki berkata seramai 59 orang penumpang dan empat anak kapal keluar tanpa sebarang bantuan dan dalam keadaan selamat.

Pesawat penumpang LOT dari Poland mendarat dengan muncungnya menghadap ke bawah selepas membuat pendaratan kecemasan bersama 59 orang penumpang dan empat anak kapal di Lapangan Terbang Antarabangsa Chopin di Warsaw, Poland, semalam. – AP

Menurutnya lagi, juruterbang telah memberi amaran terhadap masalah yang dihadapi roda semasa menghampiri lapangan terbang pada kira-kira jam 7 malam waktu setempat (1800 GMT).

Lapangan terbang ditutup dan landasan disembur dengan buih sebagai persediaan bagi pendaratan kecemasan. Penerbangan yang cuba mendarat telah dialihkan ke bandar-bandar lain, manakala semua penerbangan berlepas telah ditangguhkan.

Pesawat LOT dari syarikat penerbangan Poland membuat perjalanan dari selatan bandar Krakow. Suruhanjaya khas penerbangan akan menyiasat insiden berkenaan. – AP