Mendedahkan pelajar kepada situasi sebenar

Mendedahkan pelajar kepada situasi sebenar

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam telah bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama terutamanya Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam untuk menghasilkan Data Geospatial bagi Peta e-Cemetery Tanah Perkuburan Islam Terunjing dan Kampung Bayut, Mukim Berakas B.

Menurut kenyataan IBTE, kumpulan yang terlibat dalam kerjasama ini, yang berkaitan dengan salah satu subjek mereka (Mapping Science II), merangkumi 18 pelajar tahun akhir Diploma BDTVEC dalam Geometik (DIP/GMT/04), Jabatan Teknologi Alam Sekitar Pembinaan di samping seorang tenaga pengajar dan Penyelaras Program Geomatik, Dayang Haslina binti Ramli.

Salah satu objektif utama kerjasama ini adalah untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada situasi sebenar di mana teori-teori mengenai apa yang mereka pelajari di sekolah dipraktikkan di lapangan. Ini akan meningkatkan keupayaan pelajar untuk mengintegrasikan keupayaan menyelesaikan masalah dan kemahiran teknikal.

Para pelajar bergambar ramai setelah selesai membuat tugasan.
Para pelajar bergambar ramai setelah selesai membuat tugasan.

Pelajar-pelajar berkenaan ditugaskan untuk menghasilkan Data Geospatial bagi Peta E-Cemetery dengan teknik-teknik Pemetaan Digital menggunakan Aided Design dan Drafting. Mereka diperlukan untuk menggunakan peta topografi mengenai struktur organisasi bagi mengumpulkan, menyimpan dan memanipulasikan data spatial serta memaparkan maklumat daripada proses-proses tersebut.

Data-data atribut tanah perkuburan berkenaan yang termasuk nama si mati, tarikh lahir, tarikh meninggal dunia, sebabnya, alamat si mati, kerakyatan, jumlah kubur dan tempat pengebumian adalah penting untuk dicatat oleh pelajar-pelajar.

Untuk menghasilkan peta digital tanah perkuburan berkenaan, para pelajar pelu menyukat panjang dan lebar setiap kubur dan jarak di antara satu kubur dengan yang lain. Selain itu, terdapat tanah yang diwartakan di sebelah kiri tanah perkuburan berkenaan, yang mana selepas menghasilkan peta digital, mereka boleh menganggarkan jumlah kubur yang boleh dimasukkan. Dengan menggunakan E-Cemetery ini, mencari kubur akan menjadi lebih mudah.

ARTIKEL YANG SAMA