Mendiang Apolos disemadikan di kampung halamannya

Mendiang Apolos disemadikan di kampung halamannya

SANDAKAN, 22 Julai – Mayat Apolos Jeremos, 25, anggota bomba yang terkorban akibat terkena renjatan elektrik daripada penyambungan haram ketika operasi memadam api belukar, disemadikan di kampung halamannya di Entilibon, Tongod hari ini.

Selain dihadiri anggota keluarga dan rakan, majlis pengebumian turut dihadiri rakan setugasnya dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Anddre Andrew berkata mendiang Apolos telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Entilibon, Tongod, kira-kira pukul 1 petang.

“Saya mewakili warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan sememangnya terasa amat kehilangan dengan pemergian mendiang apatah lagi ketika kejadian dalam operasi pemadaman kebakaran.

Beliau (mendiang Apolos) seorang yang amat berdedikasi, rajin, berdisiplin dan bersifat suka memajukan diri dalam apa juga perkara yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama. – Bernama