Mendiang S R Nathan aspirasi buat semua – PM Lee

Mendiang S R Nathan aspirasi buat semua – PM Lee

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Pejabat Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di sini membuka Buku Takziah untuk memberi peluang menyampaikan takziah berikutan kematian bekas Presiden Singapura, S R Nathan malam tadi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, orang ramai yang ingin memberi penghormatan dan ucapan takziah bolehlah datang ke Pejabat Suruhanjaya Tinggi Singapura di No. 8, Simpang 74, Jalan Subok untuk menandatangani Buku Takziah tersebut yang dibuka mulai hari ini hingga 26 Ogos dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari jam 2 hingga 5 petang.

Mendiang S R Nathan, 92, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada jam 9:48 malam tadi.

Mayat mendiang tiba di rumahnya di Ceylon Road dari Hospital Besar Singapura pada kira-kira 10:45 pagi ini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam surat takziah kepada isteri mendiang hari ini berkata kehidupan mendiang mantan Presiden S R Nathan menjadi inspirasi kepada semua orang dan beliau sentiasa mengutamakan negara daripada dirinya sendiri.

Gambar fail yang diambil pada 13 Ogos 2004, menunjukkan bapa pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew (kiri) mengucapkan tahniah kepada anak lelakinya, PM Lee Hsien Loong yang baru dilantik (tengah) ketika mendiang S. R. Nathan (kanan) melihat junior Lee mengangkat sumpah di Istana Presiden di Singapura. – AFP
Gambar fail yang diambil pada 13 Ogos 2004, menunjukkan bapa pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew (kiri) mengucapkan tahniah kepada anak lelakinya, PM Lee Hsien Loong yang baru dilantik (tengah) ketika mendiang S. R. Nathan (kanan) melihat junior Lee mengangkat sumpah di Istana Presiden di Singapura. – AFP

“Terimalah takziah paling mendalam daripada saya di atas pemergian suami anda S R Nathan,” tulis Lee.

Lee berkata mendiang mempunyai kehidupan sukar semasa kecil, tetapi berjaya dalam perkhidmatan awam dan berkhidmat sebagai presiden Singapura selama 12 tahun.

“Ia sebuah kisah bagaimana Nathan sentiasa mengutamakan negaranya daripada diri sendiri, selalunya dengan pengorbanan peribadi yang besar,” tulis Lee.

Beliau berkata mendiang mempunyai kerjaya awam yang pelbagai dan cemerlang, dan memuji “pertimbangan arif dan keberanian moral” mendiang.

Mendiang “memainkan peranan penting dalam menghalang Komunis mengambil alih Singapura”, tulis Lee.

Pada 31 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Nathan diserang angin ahmar dan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Besar Singapura.

Nathan yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia pada 1988, merupakan presiden yang paling lama berkhidmat di Singapura dan menyandang jawatan itu selama dua penggal dari 1999 hingga 2011.

Beliau secara rasmi berundur sebagai presiden keenam pada 31 Ogos 2011 dan diganti oleh Presiden sekarang Tony Tan Keng Yam.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Tony Tan memberikan penghormatan dan menyampaikan takziah kepada keluarga Nathan menerusi laman Facebook.

“Amat terharu dengan kepergian S R Nathan hari ini. Beliau meninggal dengan tenang di Hospital Besar Singapura, dengan kehadiran keluarga dan orang-orang yang disayangi, tiga minggu selepas diserang angin ahmar,” kata Lee di laman Facebooknya.

“Kehidupan Nathan menjadi inspirasi buat kita semua.

“Nathan merupakan presiden kita yang paling lama berkhidmat. Presiden yang mesra dan mudah didampingi dan disayangi oleh rakyat Singapura.

“Beliau mempesona pelawat dengan pengetahuannya mengenai hal ehwal dunia, dan berkhidmat dengan penuh wibawa dan cemerlang,” kata Lee yang mengenali Nathan selama 40 tahun, sejak beliau menjadi seorang pegawai muda dalam Angkatan Tentera Singapura.

“Saya mengingati beliau sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip, mempunyai rasa tanggungjawab yang mendalam kepada negara. Beliau mengundur diri setiap kali terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab.

“Mendiang benar-benar anak jati Singapura. Saya mengucapkan takziah kepada Puan Nathan dan keluarga. Doa dan harapan kami sentiasa bersama anda di saat-saat yang sedih ini,” kata beliau.

Presiden Singapura itu berkata, beliau dan isterinya amat berdukacita dengan pemergian Nathan.

“Saya berkesempatan bekerjasama dengan Nathan dari 1996 hingga 1999 apabila saya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

“Beliau membantu menubuhkan Institut Pertahanan dan Kajian Strategik, yang sekarang dikenali sebagai S Rajaratnam School of International Studies. Sekolah itu ialah antara kumpulan pemikir yang menduduki ranking tertinggi di rantau ini,” Tan menulis.

Tan berkata Nathan juga memainkan peranan aktif dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat India apabila beliau menjadi Pengerusi Lembaga Endowmen Hindu dan anggota pengasas Persatuan Kemajuan India Singapura (SINDA).

“Sebagai Presiden Singapura, Nathan memperjuangkan khidmat sosial dengan melancarkan Cabaran Presiden pada 2000. Cabaran Presiden mendapat sokongan besar daripada komuniti dan mengumpul lebih $100 juta untuk lebih 500 pewaris semasa Nathan menyandang jawatan selama dua penggal.

“Doa dan harapan kami adalah bersama Puan Nathan dan keluarga Nathan ketika saat-saat berkabung ini,” beliau menulis. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA