Menelusuri kegemilangan di bulan Februari

BULAN Februari merupakan bulan yang dipenuhi dengan pembangunan dan perkembangan yang menjurus kepada kesejahteraan penduduk Negara Brunei Darussalam selain dipenuhi dengan pelbagai aktiviti serta acara-acara yang lain.

Bulan ini juga dimeriahkan lagi dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang diraikan dengan penuh gilang-gemilang.

UPK lancar logo, poster kesedaran

Dengan harapan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap pemedulian dan menitikberatkan pendidikan para pelajar berkeperluan khas, Unit Pendidikan Khas (UPK) telah melancarkan logo ‘Anak adalah Anugerah’ dan poster kesedaran pada 1 Februari yang lalu.

Pelancaran logo dan poster berkenaan telah berlangsung di Dewan Mahligai, Airport Mall, Berakas, di mana majlis turut diselajurkan dengan pembukaan Jerayawara Pendidikan Khas yang julung-julung kalinya diadakan tahun ini. Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran logo dan poster serta pembukaan jerayawara berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang turut menyerahkan poster-poster berkenaan kepada penghulu-penghulu mukim dan pihak berkepentingan untuk dilekatkan di tempat-tempat sesuai.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan beramah mesra dengan peniaga Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang baru semasa lawatan mengejut Baginda Sultan pada 3 Februari yang lalu . – Gambar Infofoto
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan poster kepada salah seorang penghulu mukim semasa melancarkan logo ‘Anak adalah Anugerah’ dan poster kesedaran pada 1 Februari yang lalu. – Gambar Yusrin Junaidi

Lawatan mengejut KDYMM ke Pasar Pelbagai Barangan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada 3 Februari yang lalu, berkenan berangkat mengadakan lawatan mengejut ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong untuk melihat secara lebih dekat aktiviti-aktiviti jual beli di pasar baru berkenaan. Keberangkatan Baginda yang tidak disangka-sangka itu ternyata menggembirakan para peniaga yang jelas mencerminkan keprihatinan dan sikap pemedulian Baginda terhadap soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Semasa lawatan, Baginda berkenan beramah mesra dengan para peniaga yang terdiri daripada peniaga pelbagai kategori seperti kategori salai menyalai, masak-memasak, sayur dan buah, aneka aksesori dan pakaian serta tidak ketinggalan juga kategori masak-memasak dan pra-masak untuk para graduan dan lepasan graduan. Sejak awal keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia, para peniaga dan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjunjung kasih, beramah mesra serta bergambar bersama Baginda. Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang merupakan pasar terbesar dan terkenal di Negara Brunei Darussalam, menjadi salah satu destinasi tarikan pelancong asing yang datang ke Negara Brunei Darussalam.

SM Arab Katok diberi nama baru

Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pada 13 Februari yang lalu, memaklumkan bahawa Baginda Sultan telah mengurniakan titah perkenan bagi bangunan baru Sekolah Menengah Arab Katok diberikan nama sebagai Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkuat kuasa mulai 2 Jamadilawal 1438H bersamaan dengan 30 Januari 2017M.

Menurut kenyataan dari KHEU, sekolah berkenaan merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RKN10) yang dikendalikan oleh kementerian berkenaan yang menelan belanja hampir $47 juta. Reka bentuk bangunan mengambil kira hasrat dan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya bangunan yang didirikan merupakan sebuah sekolah agama/arab yang unik dengan sistem pendidikan Islam yang diterap dan diasuh bagi mendidik anak bangsa dan melahirkan serta membentuk sahsiah bangsa dan masyarakat Brunei yang kuat berpegang teguh dengan ajaran agama Islam.

Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS). – Gambar Sim Y.H
Sesi bergambar ramai antara anak-anak Kapal USS Coronado LCS 4 bersama para pengamal media yang telah dijemput bagi menyaksikan dengan lebih dekat kehebatan kapal tersebut pada 16 Februari yang lalu. – Gambar Syahmi Hassan

Kapal tempur AS singgah di Brunei

Pada 16 Februari yang lalu, Kapal Tempur Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Coronado singgah di negara ini dalam kunjungan singkat bagi latihan dengan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB). Semasa persinggahan tersebut, Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei telah mengundang wakil-wakil media untuk melihat lebih dekat kapal tersebut yang mana pada ketika itu sedang berlabuh di Pelabuhan Muara. Lawatan media ke kapal tersebut dikepalai oleh Pegawai Pemerintah kapal berkenaan, Komander Scott Larson.

Kapal USS Coronado merupakan kapal tempur pesisir (LCS 4 – Littoral Combat Ship) dan juga kapal Tentera Laut AS yang ketiga menggunakan nama Coronado. Menurut Komander Scott Larson lagi, kapal berkenaan merupakan kapal tempur pesisir kedua yang menampilkan rangka kapal trimaran yang inovatif dan mantap. Para pengamal media telah dibawa melawat ke tempat-tempat yang aktif digunakan oleh anak-anak kapal berkenaan, termasuk ruang kawalan sistem persenjataan yang dikendalikan melalui peringkat pengkomputeran yang canggih.

Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam

Laungan takbir ‘Allahuakbar’ sebanyak tiga kali yang berkumandang di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien merupakan tanda hormat dan setia kepada raja serta negara oleh ribuan peserta dengan mendokong semangat ‘Menjayakan Wawasan Negara’ pada Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, pada 23 Februari yang lalu. Hujan yang turun dari awal pagi lagi tidak mematahkan semangat lebih 20,000 orang peserta berkumpul di ibu negara untuk sama-sama menunjukkan taat setia, semangat patriotisme yang tinggi serta hormat kepada raja dan negara dengan mengambil bahagian dalam upacara yang penuh gilang-gemilang itu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 pada 23 Februari yang lalu. Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat untuk memeriksa Pasukan Perbarisan Kawalan Kehormatan pada sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima junjung ziarah peserta persembahan dalam keadaan hujan semasa Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, pada 23 Februari yang lalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dengan sambutan membawa tema, ‘Menjayakan Wawasan Negara’. Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah serta kerabat diraja.

Ribuan bendera kebangsaan kecil dikibarkan oleh murid-murid sekolah di sepanjang jalan di ibu negara bagi mengiringi keberangkatan tiba Baginda Sultan serta kerabat diraja menuju ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien. Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan berserta kerabat diraja menerima Hormat Diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’. Baginda Sultan kemudian dijunjung memeriksa Pasukan Perbarisan Kawalan Kehormatan sebelum berangkat semula ke Pentas Diraja. Baginda Sultan sekali lagi menerima Hormat Diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, sebelum Pasukan Perbarisan Kawalan Kehormatan keluar dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian menyaksikan upacara perbarisan lalu dan perhimpunan agung di hadapan Pentas Diraja yang melibatkan kira-kira 23,000 peserta iaitu sebanyak 133 buah pasukan yang didahului oleh pembawa bendera negara berukuran besar diikuti oleh pasukan-pasukan pembawa bendera Negara Brunei Darussalam, pembaca ikrar, pasukan pembawa bendera-bendera logo Hari Kebangsaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan berpakaian seragam, peserta Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), pasukan orang-orang berkeperluan khas, Pasukan Cemerlang, kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan, daerah-daerah dan sektor swasta.

20 hektar untuk ladang buah-buahan

Projek Rintis Ladang Buah-buahan oleh Syarikat Asia Enterprise secara rasminya bermula pada 24 Februari yang lalu, dengan Majlis Pembukaan Tapak Baru untuk Perusahaan Tanaman Pertanian Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) di Jalan Singap Merangking, Ulu Belait, Mukim Bukit Sawat. Pembukaannya telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku tetamu kehormat majlis. Semasa berucap di majlis itu, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid berkata, usaha memajukan bidang pertanian melalui projek rintis itu menyokong hasrat kerajaan dalam mempelbagaikan sumber negara selain daripada industri minyak dan gas.

Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bersama Chai Yum Fatt dan rombongan lainnya semasa dalam perjalanan menuju masuk ke kawasan ladang yang sedang dalam proses pembangunan pada 24 Februari yang lalu. – Gambar Hajah Saemah Kepli

Di samping itu, ia juga akan membukakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan terutamanya para penduduk Mukim Labi, selain peluang untuk peladang-peladang sedia ada mendapatkan kemudahan bekerjasama dengan Syarikat Asia Enterprise (AE) dalam memperluaskan lagi pasaran eksport nanti.

Sementara itu, Pengarah Syarikat AE, Chai Yum Fatt dalam ucapannya pula berkata, syarikat mereka telah diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk membuka ladang seluas 20 hektar untuk dimajukan bagi peringkat pertama. Menurutnya, antara buah-buahan tidak bermusim yang akan ditanam di ladang tersebut nanti termasuklah rambutan, manggis, mangga, petai, langsat, tembikai, longan, nangka, limau, betik, pisang, avokado, sukun, jagung dan sebagainya.