Menelusuri kehidupan nelayan

Oleh Musafir

 

AKTIVITI menangkap ikan secara tradisional dan secara kecil-kecilan masih diamalkan oleh sebahagian penduduk di negara ini terutama yang tinggal di kawasan Kampong Ayer dan kampung-kampung yang berdekatan dengan sungai.

Mereka membuat aktiviti ini secara sambilan dan dilakukan hanya selepas pulang daripada bekerja dan di hujung-hujung minggu bagi menambah pendapatan untuk keluarga masing-masing. Ada juga di antara mereka yang menjadi nelayan sepenuh masa, keluar seawal pagi dan pulang di sebelah tengah hari atau petang.

Berbanding dengan nelayan komersial yang keluar menangkap ikan di laut dalam, nelayan kecil-kecilan ini hanya menggunakan bot-bot kecil dan kawasan yang sering mereka kunjungi ialah sepanjang perairan sepanjang sungai Brunei sehinggalah ke kawasan Teluk Brunei. Alat-alat yang sering digunakan pula hanyalah pukat bagi menangkap ikan dan udang serta bintur bagi menangkap ketam.

Penulis berkesempatan mendekati nelayan-nelayan tersebut ketika mereka begitu asyik menjalankan aktiviti mereka di perairan Sungai Brunei. Menurut salah seorang nelayan tersebut, beliau keluar seawal enam pagi untuk melabuhkan pukat dan bintur di kawasan Sungai Brunei. Waktu pagi adalah masa terbaik kerana air sungai masih dalam keadaan sejuk dan ikan-ikan akan senang didapati. Menurutnya lagi, beliau keluar pada waktu pagi untuk mengelakkan cuaca panas dan apabila sudah memperolehi tangkapan seperti ikan, udang dan ketam yang mencukupi, beliau akan pulang sebelum waktu tengah hari kerana katanya apabila matahari sudah meninggi, cuaca akan semakin panas dan air sungai menjadi hangat.

Beberapa nelayan yang melabuhkan pukat mereka di perairan Sungai Brunei.
Longgokan lumpur yang mengandungi kerang-kerangan dan hasilnya setelah dibersihkan.

Kegemaran masyarakat kampung

Hari ini beliau sudah mendapatkan beberapa ekor ikan dan lebih kurang sekilo udang. Beliau biasanya memperolehi rezeki sehingga tiga kilo udang sehari dan juga pelbagai jenis ikan. Katanya beliau akan menunggu lagi untuk beberapa jam sebelum pulang ke rumah.

Di satu kawasan lain menuju ke kawasan terbuka di Teluk Brunei saya menemui sebuah keluarga terdiri dari seorang ayah dan dua anaknya sedang mengaut lumpur dari dasar sungai. Rupa-rupanya di tengah-tengah kawasan perairan terbuka ini, airnya agak cetek dan salah seorang daripada ahli keluarga ini berdiri di dalam air dengan berpaut kepada sebatang kayu.

Kedalaman air hanyalah sehingga ke paras dada sahaja. Menurut beliau, di kawasan ini terdapat banyak kerang-kerangan dan beliau akan menyelam dan mengaut kerang-kerang tersebut bersama-sama lumpur untuk dinaikkan ke atas perahu sebelum dibersihkan.

Kerang jenis ini adalah makanan laut kegemaran orang Brunei terutama yang tinggal di kawasan Kampong Ayer. Kerang ini semakin popular dan dimasak dengan pelbagai cara dan dihidangkan di restoran-restoran makanan laut di sini. Menurut keluarga ini, mereka akan memperolehi sehingga 10 kilo kerang apabila sudah dibersihkan dari lumpur.

Selain untuk keperluan keluarga, selebihnya akan dijual kepada jiran dan kawan-kawan. Begitulah kehidupan para nelayan yang meneruskan tradisi nenek moyang mereka dengan keluar mencari hasil laut di sepanjang Sungai Brunei yang sudah menjadi lubuk rezeki bagi kebanyakan penduduk Kampong Ayer sejak berkurun lamanya.