Menelusuri rona kehidupan di bumi Korea

Menelusuri rona kehidupan di bumi Korea

Oleh Lenna N.B.

 

“SAYA masih ingat kali pertama saya ke sana adalah dalam tahun 2011, di bawah syarikat Freme. Bercuti seminggu memang tidak mencukupi.

“Sejak itu, saya menyimpan harapan ingin berkunjung ke Korea nanti,” ujar Dayang Nur Syaahidah Haji Jumat, 28, membuka cerita detik pertama beliau melangkahkan kaki ke Korea.

Sejak akhir-akhir ini, Korea adalah antara negara yang popular dan menjadi kegilaan masyarakat seluruh negara terutamanya, dari negara-negara Asia.

Bukan sahaja kerana artis-artis Korea yang kacak dan cantik serta budaya K-Pop yang kian diminati, tetapi juga makanan-makanan Korea yang kaya dengan rempah mereka tersendiri. Begitu juga, tempat-tempat sekitar Korea yang cukup menggetarkan jiwa.

Drama-drama romantis Korea, tayangan realiti di televisyen dan sebagainya turut menjadi pengaruh besar kepopularan Korea pada hari ini.

Pelajar-pelajar universiti bergambar ramai bersama bendera negara masing-masing di sebuah universiti Korea.
Pelajar-pelajar universiti bergambar ramai bersama bendera negara masing-masing di sebuah universiti Korea.
Dayang Nur Syaahidah meluangkan masa menyertai kelas seni lukis semasa belajar di Korea.
Dayang Nur Syaahidah meluangkan masa menyertai kelas seni lukis semasa belajar di Korea.
Suasana di dalam kelas semasa pengajian di sebuah universiti Korea.
Suasana di dalam kelas semasa pengajian di sebuah universiti Korea.

Justeru, Media Permata tertarik untuk menemu ramah salah seorang belia Brunei yang pernah belajar dan menetap di Korea dalam beberapa tahun atas perbelanjaannya sendiri.

Belajar di Korea

Dayang Nur Syaahidah mula belajar di Korea pada tahun 2012, di Hankuk University of Foreign Studies di bawah kursus Bahasa dan Kebudayaan Korea. Pada mulanya, beliau hanya merancang untuk belajar dalam pengajian singkat iaitu tiga bulan, yang merupakan kursus peringkat pertama.

“Di Korea, Kursus Bahasa Korea itu mempunyai enam peringkat. Jika ingin belajar Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di sana, sekurang-kurangnya hendaklah lulus empat peringkat dalam kursus bahasa Korea.

Manakala, jika ingin bekerja di sana pula, hendaklah menguasai keseluruhan enam peringkat pengajian Bahasa Korea,” jelas Dayang Nur Syaahidah.

Pada peringkat pertama pengajian, Beliau telah lulus dengan cemerlang dan telah diberikan biasiswa oleh universiti tersebut dengan 30 peratus pengajian ditanggung oleh universiti.

Dayang Nur Syaahidah akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian bahasa Korea peringkat ke dua.

Menurutnya, selain beliau satu-satunya pelajar Brunei, terdapat juga pelajar-pelajar dari luar negara yang belajar di universiti yang sama. Antaranya adalah dari Filipina, Ecuador, Colombia, Kanada dan banyak lagi. Dalam tahun 2014, Dayang Nur Syaahidah kemudian meneruskan pengajiannya di Sookmyung Women University untuk Kursus Bahasa Korea peringkat tiga dan empat.

“Insya Allah, saya merancang untuk menyambung pengajian Bahasa Korea peringkat lima dan enam tahun depan. Mungkin di Sookmyung Women University kerana saya banyak menguasai Bahasa Korea di sana berbanding di Hankuk University yang lebih kepada penulisan.

Dayang Nur Syaahidah, turut membawa rakan-rakan Korea menikmati dan melihat sendiri kebudayaan Brunei.
Dayang Nur Syaahidah, turut membawa rakan-rakan Korea menikmati dan melihat sendiri kebudayaan Brunei.
Mengabadikan kenangan bersama artis idol Korea, Siwon, Superjunior.
Mengabadikan kenangan bersama artis idol Korea, Siwon, Superjunior.
Dayang Nur Syaahidah ketika sedang ditemu ramah oleh Media Permata baru-baru ini.
Dayang Nur Syaahidah ketika sedang ditemu ramah oleh Media Permata baru-baru ini.

“Namun, pengalaman yang saya tidak dapat lupakan adalah apabila saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sehingga nama saya termasuk dalam senarai pelajar cemerlang,” ujar Dayang Nur Syaahidah mengimbas detik paling manis beliau semasa belajar di Korea.

Membantu merancang percutian

Semasa dalam pengajian, rakan-rakan Brunei telah menghubunginya untuk membantu merancang percutian mereka di Korea merangkumi melawat tempat-tempat menarik, mencari makanan halal dan melihat masyarakat Muslim yang hidup di Korea. Pada waktu itulah, Dayang Nur Syaahidah menemui keseronokan mengembara.

“Ini kerana, saya bukan sahaja membantu mereka, tetapi pada masa yang sama, saya juga turut menerokai tempat-tempat yang menarik sekitar Korea. Sejak itu, saya semakin seronok untuk membantu orang-orang Brunei yang ingin bercuti di Korea. Sejak tahun 2012 hingga ke hari ini, lebih 50 orang telah saya pandu sekitar Korea.”

Menurut Dayang Nur Syaahidah, orang-orang Brunei memerlukan bantuannya selaku anak Brunei yang hidup lama di Korea. Tambahan lagi, dengan kemampuannya berbahasa Korea akan memudahkan mereka merancang percutian.

“Insya Allah selepas habis belajar, saya merancang untuk mendaftar menjadi pemandu pelancong sepenuh masa dan membawa lebih ramai orang Brunei ke Korea. Ia mungkin akan menjadi karier saya di masa akan datang.”

Tempat-tempat yang dilawat oleh Dayang Nur Syaahidah adalah merangkumi Myeongdong, Dongdaemun, Pasar Namdaemun, Menara Namsan, Istana Gyeongbokgung, Kampong Namsangol Hanok, Pulau Nami, Everland dan banyak lagi.

Perbezaan Gaya Hidup

Masyarakat Korea berdasarkan pengalaman Dayang Nur Syaahidah kebanyakannya tidak tahu bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana bahasa ibunda mereka yang begitu kuat dan digunakan setiap hari.

Sekitar Petite France, bandar kecil Perancis di Korea.
Sekitar Petite France, bandar kecil Perancis di Korea.
Salah sebuah daripada lima buah masjid di Korea, Masjid Itaewon, Seoul.
Salah sebuah daripada lima buah masjid di Korea, Masjid Itaewon, Seoul.
Muzium Trickeye, Korea yang menguji minda dan mata.
Muzium Trickeye, Korea yang menguji minda dan mata.

Ketidakmampuan mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris memberikan cabaran buat Dayang Nur Syaahidah sehinggakan beliau pernah tersesat selama dua jam mencari jalan balik dari universiti. Justeru, pada peringkat awal semasa baru-baru belajar di sana, Dayang Nur Syaahidah hanya menggunakan aksi tangan untuk bertutur bersama mereka, apatah lagi dalam keadaan beliau yang belum fasih berbahasa Korea melainkan Bahasa Inggeris sahaja.

Kini, Dayang Nur Syaahidah cukup fasih berbahasa Korea, malah dapat berbual dan bertutur dengan rakan-rakan Korea.

“Selain tentang masalah bahasa, penampilan saya yang bertudung juga sering menarik perhatian masyarakat di sana. Mereka hairan kenapa saya perlu bertudung walaupun bukan berada di negara Brunei.

Mereka kurang faham berkenaan Islam itu sendiri, tetapi ia adalah pengalaman yang menyeronokkan apabila kita mampu berkongsi sehingga lama-kelamaan mereka kebiasaan melihat saya begini.

Lucunya, orang-orang tua banyak tertarik dengan penampilan saya, malah mereka memuji saya cantik bertudung,” cerita Dayang Nur Syaahidah ketawa.

Dari segi kenderaan pula, Korea amat mementingkan penggunaan kenderaan awam seperti kenderaan bawah tanah, LRT atau bas.

Ini kerana masalah trafik yang berjam-jam lamanya. Mungkin disebabkan jumlah rakyat Korea yang ramai. Di samping itu, penggunaan kenderaan awam juga sangat murah.

Dayang Nur Syaahidah juga menceritakan keunikan rumah-rumah yang dibina sekitar Korea. Menurutnya, sangat sukar untuk melihat rumah yang sebuah-sebuah seperti di Brunei kerana rumah dibina secara rapat dan memanjang.

Namun, terdapat juga jenis rumah pangsapuri yang dibina mencakar langit terutamanya kawasan bandar yang kebanyakannya didiami oleh orang-orang kaya Korea.

Pengalaman melakukan lompat bungee di Korea.
Pengalaman melakukan lompat bungee di Korea.
Bulgogi, antara makanan halal di Korea.
Bulgogi, antara makanan halal di Korea.
Bingsu antara hidangan popular dan terunik di Korea.
Bingsu antara hidangan popular dan terunik di Korea.

“Memang banyak perbezaan budaya hidup kita dengan Korea. Perbelanjaan juga sangat tinggi berbanding di Brunei. Seronoknya, banyak tempat-tempat yang indah sekitar Korea. Kalau bertuah, kita juga akan mudah menemui artis-artis Korea.”

Meneroka Brunei

Selain membantu orang-orang Brunei merancang percutian di Korea, Dayang Nur Syaahidah juga membawa rakan-rakan Korea menerokai Brunei.

Malah, rakan-rakan bangsa lain seperti Vietnam, Jepun, dan sebagainya yang bersama belajar di Korea turut meluangkan waktu bercuti di Brunei.

“Mereka ‘iski’ kerana kali pertama menjejakkan kaki ke negara yang kecil ini. Malah, ada yang tidak tahu kewujudan Brunei. Kebanyakan mereka tertarik sikap masyarakat Brunei yang peramah, budaya Melayu yang masih menebal semasa acara perkahwinan dan banyak lagi.”

Bagi Dayang Nur Syaahidah, menjalinkan silaturahim bersama rakan-rakan luar negara adalah umpama pertukaran budaya antara dua negara. Melalui pertukaran budaya itulah, masing-masing menunjukkan keistimewaan persahabatan.

“Sebenarnya saya mempunyai perancangan untuk menerbitkan buku dalam Bahasa Korea bagi memperkenalkan negara Brunei memandangkan banyak di antara mereka belum mengenali Brunei.

Ia akan menjadi projek saya dalam pengajian kursus Bahasa Korea peringkat enam nanti,” ucap Dayang Nur Syaahidah di hujung temu ramah.

Setiap pengembaraan adalah detik istimewa. Setiap detik pasti dirakamkan sebagai perkongsian penerokaan yang ditemui. Itulah menjadi diari Dayang Nur Syaahidah yang dimuat naiknya dalam media aplikasi sosial sepanjang berada di Korea.

“Ibulah yang menjadi pembakar semangat saya untuk menjadi seorang yang berdikari dan dipercayai.”

ARTIKEL YANG SAMA