Menerap ilmu agama kanak-kanak dari keluarga susah

Menerap ilmu agama kanak-kanak dari keluarga susah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Keluarga yang kurang berkemampuan terus mendapat perhatian semua pihak dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka dan ini tidak terkecuali dalam bidang pendidikan dan keagamaan.

Ke arah itu, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) buat julung kalinya menganjurkan Program Bacaan Al-Quran dan Pengetahuan Agama untuk anak-anak keluarga yang kurang berkemampuan dan yang berdaftar dengannya, di pejabat MKM, Kompleks Melabau, Berakas.

Program tersebut bermula dari pukul 8 hingga 10 pagi pada setiap hari Ahad dengan dibimbing oleh graduan lepasan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Menurut Setiausaha Kehormat MKM, Dayang Hamidah binti Haji Lakem dan Ketua Jawatankuasa Kanak-kanak, Dayang Zubaidah binti Dato Haji Abu Zar, selain program keagamaan, program tersebut merupakan salah satu cara membantu keluarga yang berdaftar di MKM untuk mempelajari Al-Quran dan pengetahuan ugama ke arah pembentukan rohani dan mental yang lebih baik.

Antara kanak-kanak yang mengikuti Program Bacaan Al-Quran dan Pengetahuan Agama anjuran MKM.
Antara kanak-kanak yang mengikuti Program Bacaan Al-Quran dan Pengetahuan Agama anjuran MKM.
Dayang Zubaidah bersama salah seorang kanak-kanak yang mengikuti program Siri Bacaan Al-Quran.
Dayang Zubaidah bersama salah seorang kanak-kanak yang mengikuti program Siri Bacaan Al-Quran.

Ini juga secara tidak langsung membantu lepasan graduan UNISSA yang masih belum bekerja mendapatkan pendapatan mereka.

Keluarga yang berdaftar dengan MKM ini dikenal pasti melalui Klinik Guaman dan Khidmat Nasihat yang diadakan setiap hari Rabu pada pukul 7 malam hingga 9 malam yang diadakan di Yusof Halim & Partners Advocates & Solicitors.

Pada program kali ini, tumpuan diberikan kepada anak-anak dan pada masa depan ia akan dilaratkan kepada golongan dewasa dalam keluarga yang kurang berkemampuan.

MKM sebagai sebuah badan yang berdaftar di negara ini memberikan fokus utama mereka untuk mengetengah dan seterusnya menangani isu kemasyarakatan bagi menyokong usaha badan-badan bukan kerajaan ke arah penambahbaikan kebajikan masyarakat di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA