Menerima mengadap 400 bakal jemaah Haji

Menerima mengadap 400 bakal jemaah Haji

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, petang tadi berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah seramai 400 orang bakal jemaah haji negara bagi tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi.

Pada majlis di Istana Nurul Iman itu, Baginda Sultan berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada 194 orang bakal jemaah haji lelaki.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Manakala di ruang berasingan, Baginda Raja Isteri berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada 206 orang bakal jemaah haji perempuan.

Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Baginda Sultan dan DYTM Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menerima mengadap bakal-bakal jemaah haji lelaki di Istana Nurul Iman, kelmarin.
Baginda Sultan dan DYTM Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menerima mengadap bakal-bakal jemaah haji lelaki di Istana Nurul Iman, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menerima mengadap bakal–bakal jemaah Haji lelaki di Istana Nurul Iman, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menerima mengadap bakal–bakal jemaah Haji lelaki di Istana Nurul Iman, kelmarin.

pg01_160809_b

Terdahulu sebelum majlis mengadap dan junjung ziarah, bakal-bakal jemaah haji negara telah menunaikan solat Fardu Zohor berjemaah di surau istana.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah berkenan mengurniakan pakaian ihram kepada bakal jemaah haji lelaki dan telekung kepada bakal jemaah haji perempuan.

Salah seorang bakal haji pada tahun ini, Dayang Nurul Syamimi binti Abdullah Wong yang merupakan seorang mualaf semasa ditemui Media Permata berkata, beliau melahirkan perasaan gembira dan bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana berpeluang untuk menunaikan haji bersama suami beliau, Awang Muhd Sanif bin Muhd Kimchoi, tahun ini.

Beliau menyatakan setelah memeluk agama Islam, beliau telah melihat imbasan dan diberikan hidayah daripada Allah S.W.T untuk menunaikan Ibadah Haji.

Para bakal jemaah haji lelaki menerima kurnia beg dan barang-barang untuk menunaikan Ibadah Haji.
Para bakal jemaah haji lelaki menerima kurnia beg dan barang-barang untuk menunaikan Ibadah Haji.

pg03_160809_d

Dayang Nurul Syamimi bersama suaminya, Awang Muhd Sanif semasa ditemui media.
Dayang Nurul Syamimi bersama suaminya, Awang Muhd Sanif semasa ditemui media.

Manakala Dayang Safwanah binti Ahmad, 29, pula memberitahu, ini merupakan kali pertama beliau menunaikan Ibadah Haji, dan merasa gembira kerana berpeluang untuk menunaikan Ibadah Haji bersama keluarganya pada tahun ini.

Beliau memberitahu, para jemaah haji tahun ini juga telah diperingatkan untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal dan bertawakal semasa sampai di Tanah Suci.

Salah satu daripada persediaan beliau dan keluarganya dalam menunaikan haji ini termasuk menghadiri taklimat-taklimat haji dan ceramah yang telah ditetapkan, bermula pada bulan Mac sehingga Mei lalu.

Rombongan pertama bakal jemaah haji dijangka meninggalkan negara pada 18 Ogos ini, sementara itu, rombongan kedua pula akan bertolak pada hari berikutnya.

Sebelum berangkat ke Tanah Suci, bakal-bakal jemaah haji negara telah mengikuti kursus bagi menerangkan mengenai perkara-perkara rukun dan wajib haji serta beberapa persediaan sebagai persiapan awal menunaikan Ibadah Haji.

ARTIKEL YANG SAMA