Menerima mengadap Presiden Filipina

Menerima mengadap Presiden Filipina

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Presiden Republik Filipina, Rodrigo Roa Duterte di Istana Nurul Iman.

Dalam perjalanan dari Istana Edinburgh menuju ke Istana Nurul Iman, Presiden Duterte yang membuat lawatan negara ke negara ini selama tiga hari itu telah diiringi oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Wakil Peribadi Baginda Sultan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama dengan Presiden Duterte naik ke pentas khas untuk menerima tabik hormat diiringi oleh lagu kebangsaan kedua-dua negara dan 21 das tembakan meriam dilepaskan. Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Barisan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Presiden Duterte kemudiannya diperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja; para pembesar negara; menteri-menteri kabinet; timbalan-timbalan menteri; pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; pemerintah ABDB; ketua-ketua perwakilan asing di negara ini; dan setiausaha-setiausaha tetap di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Selepas itu, Baginda Sultan berkenan disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan Presiden Republik Filipina yang termasuk Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri, Perfecto R. Yasay Jr.; Setiausaha Kewangan, Carlos G. Dominguez III; Setiausaha Pertahanan Kebangsaan, Miguel Delfin N. Lorenzana; Setiausaha Perdagangan dan Industri, Ramon M. Lopez; Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden, Jose Ruperto Martin M. Andanar; Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Hermogenes C. Esperon Jr.; Penasihat Presiden mengenai Proses Damai, Jesus G. Dureza; Setiausaha Suruhanjaya Kebangsaan Filipina Islam, Yasmin Busran-Lao; Setiausaha Autoriti Pembangunan Mindanao, Datu Abul Khayr D. Alonto; dan Senator Republik Filipina, Alan Peter S. Cayetano.

Baginda Sultan berkenan berangkat mengalu-alukan Presiden Duterte di Istana Nurul Iman.
Baginda Sultan berkenan berangkat mengalu-alukan Presiden Duterte di Istana Nurul Iman.
Presiden Duterte diperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja.
Presiden Duterte diperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Presiden Duterte di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Presiden Duterte di Istana Nurul Iman.
DYTM Pengiran Muda Mahkota, DYTM Pengiran Perdana Wazir, DYTM Pengiran Bendahara, DYTM Pengiran Digadong, YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat bagi mengalu-alukan Presiden Duterte di Istana Nurul Iman.
DYTM Pengiran Muda Mahkota, DYTM Pengiran Perdana Wazir, DYTM Pengiran Bendahara, DYTM Pengiran Digadong, YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat bagi mengalu-alukan Presiden Duterte di Istana Nurul Iman.

Sejurus selepas itu, Majlis Mengadap diadakan di Cheradi Laila Kenchana. Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Juga hadir pada majlis tersebut termasuk Perfecto R. Yasay Jr., Carlos G. Dominguez III, Miguel Delfin N. Lorenzana, Alan Peter S. Cayetano dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Meynardo LB. Montealegre.

Selepas Majlis Mengadap tersebut, Baginda Sultan berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala dengan Presiden Duterte di Baitul Mesyuarah.

Berangkat sama menghadiri majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Menteri Pengiring; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Semasa majlis tersebut, Baginda Sultan dan Presiden Republik Filipina berbincang mengenai isu-isu dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina serta bertukar-tukar pandangan tentang hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Presiden Duterte serta rombongan tiba di negara ini pada petang kelmarin.

ARTIKEL YANG SAMA