Meneruskan tradisi kedua ibu bapa

Meneruskan tradisi kedua ibu bapa

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Julai – Meneruskan tradisi kedua ibu bapa bagi mengeratkan lagi silaturahim dengan majlis rumah terbuka di pagi Hari Raya Aidilfitri, merupakan hasrat utama bagi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan Serikandi Sdn Bhd, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad dan keluarga.

Majlis rumah terbuka di Hari Raya, turut dibukakan untuk kunjungan dalam kalangan kakitangan syarikat mereka, juga untuk mengeratkan lagi silaturahim serta kemesraan antara mereka sekeluarga dengan kakitangan dan pekerja syarikat berkenaan.

Dalam temu bual Media Permata bersama Shaikh Haji Khalid, kelmarin, menyatakan, kedua ibu bapanya semasa hayat mereka mengadakan majlis rumah terbuka setiap tahun, dengan mengundang bukan saja dalam kalangan sanak saudara dan ahli keluarga tetapi juga rakan-rakan dan kenalan serta masyarakat di sekitarnya.

“Biarpun kedua ibu bapa kami telah meninggal dunia, tetapi sebagai anak-anak, kami mahu meneruskan tradisi tersebut, dan memberikan peluang kepada generasi muda dalam kalangan kaum keluarga kami, masih mempunyai tumpuan hendak berkumpul saling berjumpa, walaupun sudah tiada orang tua kami,” katanya.

Shaikh Haji Khalid (duduk tengah) bergambar ramai bersama para pengunjung yang datang ke ru-mahnya.
Shaikh Haji Khalid (duduk tengah) bergambar ramai bersama para pengunjung yang datang ke ru-mahnya.

Majlis rumah terbuka tersebut yang diadakan di kediaman, Shaikh Haji Khalid di Pandan Dua, di sini, bermula dari pukul 3 petang hingga malam, dan lebih 200 orang telah berkunjung termasuk dalam kalangan kakitangan dan pekerja syarikat berkenaan, kaum keluarga, rakan-rakan perniagaan, rakan kenalan dan sebagainya.

Selain daripada untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim, majlis itu juga memberikan peluang para pengunjung untuk saling mengenali, beramah mesra dan bermaaf-maafan, dan peluang bertemu setelah sibuk bertugas di waktu-waktu kerja, sambil menambah ceriakan lagi suasana berhari raya.