Mengaku bersalah tumbuk isteri

Mengaku bersalah tumbuk isteri

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Seorang lelaki tempatan telah mengaku bersalah menumbuk muka dan mata serta menendang punggung isterinya, dan dijatuhkan hukuman denda $1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin turut memerintahkan Abdul Halim bin Jahari, 29, supaya dipenjarakan selama tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap isterinya yang berusia 26 tahun di kediaman mereka di Teres Tengah Jalan Pakis, Lumut II sekitar jam 10:30 pagi pada 8 Februari 2015.

Tertuduh dalam kata rayuannya memberitahu mahkamah dia tidak berniat untuk memukul isterinya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahannya tambahan lagi dia telah mendapat pengajaran daripada perbuatannya.

Majistret sebelum menjatuhkan hukuman turut mengambil kira kecederaan mangsa yang dikategorikan sebagai ringan, dan hukuman denda sudah memadai bagi menghalang orang lain untuk melakukan kesalahan yang sama.

Fakta kes menyebut tertuduh melakukan kesalahan itu selepas bertengkar dengan mangsa.

Tertuduh cuba menghalang mangsa yang cuba mengambil barang-barangnya untuk dibawa keluar ke rumah abangnya yang terletak bersebelahan.

Mangsa mula menjerit apabila tertuduh cuba menghalangnya, dan ini membawa kepada tertuduh memukulnya. Mangsa kemudian berlari keluar menuju ke rumah abangnya, dan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Liang.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharon Yeo.

ARTIKEL YANG SAMA