Mengaku laku perbuatan tidak senonoh

Mengaku laku perbuatan tidak senonoh

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160525_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Seorang lelaki tempatan yang berdepan pertuduhan percubaan merogol dan mencabul kehormatan anak jirannya serta menceroboh telah dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini. Johari bin Haji Zaini, 42, mengaku tidak bersalah atas kesalahan cuba merogol mangsa yang berusia 15 tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang dibacakan bersama Seksyen 511 yang membawa hukuman pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun, dan juga sebatan.

Dia, bagaimanapun, mengaku bersalah untuk tuduhan pilihan di bawah Seksyen 354A(1) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 iaitu mencabul kehormatan mangsa dengan melakukan perbuatan tidak senonoh.

Kesalahan yang dilakukannya memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi dari tujuh tahun, dan juga sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau, pada 16 April 2016.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan menceroboh masuk sebuah rumah lain di kawasan rancangan perumahan yang sama dengan niat untuk melakukan kesalahan, pada tarikh yang sama sekitar jam 5:30 pagi.

Hakim Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman menetapkan 1 Jun untuk sebutan seterusnya. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Kamaluddin.

ARTIKEL YANG SAMA