Mengaku rogol dua adik-beradik

Mengaku rogol dua adik-beradik

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, menetapkan 5 Julai untuk sebutan hukuman seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah atas pertuduhan melibatkan rogol dan melakukan hubungan seks dengan dua adik-beradik, memiliki gambar lucah dan tidak senonoh, serta melibatkan mangsa dalam aktiviti seks.

Norin bin Pungur/Yussof, 31, untuk tuduhan pertama dan kedua didakwa memperkosa mangsa (Miss X) berusia 13 tahun dalam dua kejadian berasingan pada April dan 9 Mei 2016 di sebuah rumah di Daerah Brunei dan Muara.

Untuk kesalahan itu, dia boleh dikenakan pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan juga sebatan.

Untuk tuduhan ketiga hingga kelima dan daripada tuduhan kesembilan hingga ke-15, dia dituduh memiliki gambar lucah dan tidak senonoh Miss X dan Miss Y yang disimpan dalam pendrive pada 6 Mei di mana kesalahan ini memperuntukkan pemenjaraan yang boleh dilan-jutkan sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Norin untuk pertuduhan keenam dan ketujuh turut didakwa melakukan hubungan seks dengan Miss Y berusia 15 tahun sekitar Mac dan April 2016 di rumah yang sama, dan kesalahan ini membawa pemenjaraan untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi dari tujuh tahun, dan juga tidak melebihi 24 sebatan.

Dia juga berdepan pertudu-han kelapan iaitu melibatkan Miss Y dalam aktiviti seks sekitar April 2016 di mana kesalahan ini membawa kepada pemenjaraan yang boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah untuk menjatuhinya denda sahaja dan bukannya hukuman penjara kerana dia perlu menyara ibunya yang di bawah jagaannya.

Fakta kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo menyebut, aktiviti seksual itu bermula apabila tertuduh menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada Miss X dan Miss Y dengan meminta mereka untuk menghantar gambar bogel.

Perbuatan tertuduh ter-bongkar apabila salah seorang rakan kelas Miss X memberitahu guru mereka bahawa Miss X ada membawa pisau lipat ke sekolah.

Guru tersebut kemudian menyoal Miss X apa yang telah terjadi di mana Miss X memberitahu bahawa dia dan Miss Y pernah melakukan hubungan seks dengan tertuduh. Guru itu terus melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Polis yang memberkas tertuduh turut menemui pen-drive yang mengandungi gambar lucah mangsa di dalam poket pakaian seragam kerja tertuduh.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar turut membatalkan ikat jamin tertuduh dan memerintahkannya untuk ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga sebutan hukuman.