Mengaku salah 2 tuduhan mencuri

Mengaku salah 2 tuduhan mencuri

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Seorang lelaki tempatan yang menghadapi dua pertuduhan mencuri mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan, hari ini, Mohammad Suhaimi bin Mohd Sufri, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin.

Tertuduh pada 19 April 2015 kira-kira 7 malam telah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Padang dekat ibu negara dan mencuri wang berjumlah $2,000, beg tangan Tory Burch, iPad, kad pengenalan, kad Royal Skies, kad pengenalan pekerja syarikat, token sekuriti HSBC dan dua keping mata wang China ¥100.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 457 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan sebatan, dan jika kesalahan itu diniatkan untuk melakukan curi, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun.

Selain itu, tertuduh juga menghadapi pertuduhan mencuri sebuah kereta Toyota Kijang pada 29 April 2015 sekitar 10:30 malam di Kampung Orang Kaya Besar Imas, dan melakukan kesalahan di bawah seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang membawa kepada penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah membeli sebuah kereta Toyota Corolla berwarna merah dengan pendaftaran BE 7946 menggunakan wang $2,000 yang dicuri.

Polis telah menemui semula barang yang dicuri kecuali wang $2,000 yang telah digunakan, dan turut menemukan semula kereta Toyota Kijang yang dicuri itu di Seria.

Mahkamah menetapkan 13 Mei 2015 sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA